Tuesday, October 11, 2011

Hati Aku Yang Percaya...

Wah, baru beberapa hari bertunang, kami sudah diasak dengan tekanan. Rakan-rakan yang kecewa dan merasa hampa kerana tiada pengumuman dari kami sebelum bertunang. Mungkin mereka rasa diketepikan. Sampai hati tak beritahu terlebih dahulu. Kami terima kata-kata itu. Tetapi, kami sendiri sebenarnya tak sangka cepatnya ia berlaku, sehingga kami tak sempat memberitahu semua.

Tak tamat di situ. Aku dan dia menukar status kami di FB dengan niat itulah pengumuman. Agar yang melihat tahu. Tetapi, disalah erti pula. Apakan daya, setiap orang tafsirannya berbeza. Biar sajalah. Ada pula yang ingin melihat gambar pertunangan kami, lalu aku upload. Supaya tiada yang fikir kami ingin berahsia lagi.
 
Ada yang berkata pula, betapa ringkasnya majlisku, barang-barang hantaranku. Balasku, hanya itu yang termampu. Siapa tidak mahu majlis besar walau hanya bertunang? Tetapi, itu rezeki aku. Berhakkah aku mempersoalkannya? Tidak mengapa. Setiap orang ada pendapat masing-masing. 

Aku tahu cabaran paling besar buat aku, apabila ada yang tidak percaya aku menerima dia dengan rela. Ya, aku tidak nafikan kegagalan dalam perhubungan yang lalu adalah tamparan paling hebat pernah aku rasa. Bukan mudah melupakan, apatah lagi membina hubungan baru. Tetapi, siapa mampu menghalang jika Allah sendiri inginkan sesuatu itu berlaku? Sila jawab.

Paling aku tak ingin, jika dia mulai meragui aku. Jika pelbagai persoalan mula bermain di jiwa dan mindanya. Benarkah dia ikhlas menerima aku? Sudahkah dia lupakan kekasih lama? Adakah dia akan berubah hati jika kekasih lamanya kembali? Mampukah dia mencintai aku sepenuh hatinya? (Abang, ada terfikir tak macam ni?).

Kepada tunangku, ikhlas aku jelaskan. Aku menerimamu bukan atas dasar ‘kecewa untuk terus mencari’, ‘tamat sajalah zaman bujang, sudah malas nak fikir’, ‘kahwin sajalah dengan sesiapa saja’. Memang, aku tidak nafikan, mak selalu bertanya tentang jodoh, tentang kahwin. Tetapi, jika hati aku tidak benar-benar terbuka untuk itu, dan Allah tidak izinkan, tetap ia takkan berlaku.

Aku tahu setiap butir kata-kata tetap tak mampu meyakinkan sesiapa. Aku cuma mahu tunangku yang percaya, bahawa hati aku sangat percaya, dari saat aku menjadi tunanganmu, Allah mengizinkan hati ini hanya untukmu, Mohd Azlan Ismail...

Topik akan datang....’Persediaan Kahwin, Ingat Senang?’

Engage To...

Gementar. Kelam-kabut. Itu yang aku dan mak rasakan. Masakan tidak, persiapan pertunangan hanya kami berdua yang uruskan. Bukan tidak mahu memberitahu saudara-mara, jiran-jiran. Bukan tidak mahu meminta tolong orang. Tetapi, pengalaman pahit lalu membuatkan kami lebih senang melakukannya sendiri. Biarlah apa orang nak kata. 

Ringkas. Itu yang pasti berlaku pada hari pertunanganku. Menyambut rombongan empat buah kereta dengan majlis yang serba ringkas. Sebelum rombongan datang, hatiku tak henti-henti berdoa agar keluarganya dapat menerima aku dan keluarga seadanya. Tiada yang aku impikan melainkan semuanya berjalan dengan sebaiknya.

Ketika kedua-dua belah keluarga berbincang, aku terus berdoa. Adatlah, pasti ada sesuatu yang tidak dipersetujui. Bila itu berlaku, kacau-bilaulah hatiku. Alhamdulillah, cincin yang dibawa disarungkan ke jari manisku oleh ibunya. Saat itu, hanya perkataan syukur yang mampu aku ucapkan. (hati meronta-ronta gembira tahap gaban).

Paling menarik, aku menemani mak dan ayahnya bersiar-siar di Georgetown. Sekurang-kurangnya aku punya sedikit ruang dan peluang untuk bermesra dengan keluarganya. Terima kasih abang, adik, Salwa yang sudi menemani aku menemani keluarganya. 

Terima kasih tak terhingga pada mak. Banyak bersusah payah demi aku. Abah, yang menerima pilihanku dengan dada yang terbuka. Menyambut dan melayani tetamu dengan gembira. Keluarga dia, yang menerima aku dan keluargaku seadanya. Berpenat lelah datang dari jauh dan menjamah masakan kami yang tidak seberapa. 

Tunangku, Azlan..terima kasih di atas segalanya..Maafkan Jue kerana hanya itu yang mampu kami sediakan untuk menyambut rombongan abg...

Di sini Bermula...

Apabila hatiku dengan sendirinya merelakan, bermulalah sebuah perjalanan. Kadang-kala aku tidak percaya. Benarkah aku menerima dia dengan sukarela? Atau masih seperti dulu..memaksa hati untuk mencuba, mencuba dan mencuba. Ketika aku mulai menyukai dia, aku tidak merasa itu adalah sebuah cinta. Cinta pandang pertama, kedua atau magika. Bukan.

Ada satu perasaan yang aku selesa bersama dia. Tiada kesedihan, tiada keraguan. Setiap masa, dia cuma membuat aku gembira. Ketawa. Semakin aku mengenali dia, semua sifatnya terserlah. Baik atau buruk. Mungkin bukan semua. Tetapi, cukup untuk aku mentafsir tentang siapa dirinya. Bukan semua sikapnya aku suka. Tetapi, aku rasa tenang menerima dia seadanya. Mengapa?

Untuk mengatakan dia jodohku ketika itu, belum. Namun, ada satu bisikan di dalam hati yang berkata, “Jika satu hari dia benar-benar ingin meminangku, menjadikan aku isterinya, aku akan berusaha untuk menerima dan mencapainya.” 

Dan, itulah yang berlaku. Dia ingin menjadikan aku sebagai isterinya. Tetapi, dia takut, mungkin keluarganya tidak merestui. Faktor kewangan pasti menjadi masalah utama. Lalu, kami berbincang. Bagi pihak keluarga aku, mungkin tiada masalah. Kerana aku perempuan. Hanya sebagai tanggungan.

Kami akhirnya terfikir untuk menyiapkan sebuah ‘wedding proposal’. Kertas kerja yang lengkap dengan semua maklumat tentang perancangan perkahwinan kami. Kami berharap, apabila berjumpa ibu dan ayahnya nanti, semua persoalan yang akan ditanyakan, jawapannya ada di dalam proposal itu.

Proposal masih dalam proses, dia terlebih dahulu mencuba nasib. Dia bertanya kepada ayahnya, hasrat untuk menghantar rombongan meminangku. Tak sangka, mungkin berkat kami berdoa pada sepuluh malam terakhir Ramadan, ayahnya memberi signal ‘green light’. Lalu aku menerima khabar gembira bahawa rombongan pihaknya akan datang pada hari kelima Aidilfitri.

Aku pula mulalah dengan kelam-kabut mencari barang-barang untuk dibuat hantaran. Otak berfikir sendiri. Tubuh bertindak seorang. Mak,adik dan sahabat baik, Salwa menjadi pembantu yang tiada rasa jemu.


Sejarah Hanya Sejarah

Putus cinta. Sakitnya hati setelah berpisah dengan orang yang pernah dicintai tak mampu dijelaskan. Tiada penjelasan yang benar-benar menggambarkan. Walau ayat bombastik pun tak boleh. Percayalah. Anda pernah putus cinta juga kan...Ops, tapi melainkan anda adalah seorang playboy atau playgirl. Mungkin sekejap saja lukanya terasa. Well, biasala kan.

Patah tumbuh hilang berganti. Bukan senang. Seperti lirik lagu ni, “dimana...kan ku cari ganti...serupa denganmu...” Berbezanya antara kita adalah terus menutup pintu hati atau cuba membukanya lagi. Ada yang sudah serik. Hampa, kecewa, merana dan sengsara. Biarlah sendiri. Single but not available. Tak mungkin ada lagi cinta bertakhta di hati. Memang parah, tambahan orang yang dikhianati dan ditinggalkan.

Ada juga yang tak berputus asa. Tidak ingin dilihat lemah. Tidak mahu menyerah kalah pada pencarian cinta sejati. Masih cuba dan bersungguh-sungguh melupakan kekasih lama. Beri peluang kepada orang lain yang mengintai ruang hati. Tetapi, mestilah mengambil masa juga. Kadang-kala bayangan si dia masih bermain di mata. Kekasih baru dilihat seperti kekasih lama. Ini bahaya! 

Cerita aku pula tak tahu nak masuk kategori yang mana. Selepas gagal mempertahankan cinta yang aku sanjung selama sembilan tahun, aku memang benar-benar putus asa. Sehingga aku pernah merasa, jika tiada lelaki dalam hidup pun tidak mengapa. Ah, kalau ada teman hidup pun tetapi jiwa dan fikiran serabut buat apa! Tetapi kehidupan sukar dijangka...

Rupa-rupanya aku silap mentafsir lelaki. Bukan mudah membenci mereka. Malah, ada yang baik dan tingkah laku mereka cukup dengan penghormatan kepada wanita. Tetapi, untuk membuka hati sebagai teman istimewa memang tak mampu aku lakukan. Malah, aku telah mencuba sehinga tak sedar aku memberi harapan, tapi masih dengan amaran, dan akhirnya tetap mengecewakan. 

Tunangku hadir bagaikan angin (angin sepo-sepoi bahasa je). Berjumpa ketika sedang menjalankan tugas di utara semenanjung. Ketika itu tiada apa yang terlintas di hati. Sehinggalah kami mula menjadi kawan. Kesungguhannya dalam apa jua yang dia lakukan membuat hatiku dalam tak sedar telah tertawan. Namun, tiada apa yang aku harapkan selain menjadi teman. Teman yang kelakar dan sempoi! Kerana ketika itu aku tetap gagal mencuba dengan yang lain.

Aku sendiri tak pasti mengapa mudah benar hati ini memberi peluang kepadanya saat dia meluahkan rasa suka. Dan ketika dia inginkan satu perhubungan yang serius antara kami, aku merasa tenang untuk merelakan. Ketika satu persatu perancangan untuk membina mahligai rumah tangga bersamaku dibebelkan, aku rasa cukup tenang untuk mendengarnya.

Mungkin ini yang dinamakan apabila dia itu jodohku...hanya ketenangan yang dirasa apabila memandangnya, mendengar tuturkatanya, dan menerimanya dengan rela...

Monday, September 26, 2011

Aku & Kerja Baru

Hampir sebulan aku bertukar skop kerja. Daripada menulis artikel berunsur keagamaan, aku menulis artikel berunsurkan fakta. Mungkin boleh aku jelaskan di sini, tanpa jiwa. Wow, kalau editor aku baca pasti dia fikir aku tidak berminat dengan kerja sekarang. 

Bukan begitu sebenarnya. Namun, aku merasakan penulisan aku kali ini tidak memerlukan aku menggunakan daya pemikiran dan penghayatan yang tinggi seperti mana aku perlu lakukan ketika di I Luv Islam.

Sekarang juga aku sudah jarang-jarang meninjau isu-isu semasa. Jika dulu, aku harus sentiasa alert dengan apa yang berlaku, terutamanya dalam hal yang melibatkan keagamaan. Tapi kini, aku hanya tertumpu kepada sekolah dan hal-hal yang sewaktu dengannya. Bukan mudah. 

Kerna aku seorang yang sukakan ‘explorace’ di dalam pekerjaan, jadi aku terasa sedikit terhad dan bosan. Mungkin ini hanya permulaan, insyaAllah aku akan cuba lakukan yang terbaik. Kerna Allah yang tentukan aku berada di mana aku berada sekarang. Pasti ada hikmahnya.

Berhenti merungut dan jangan berpaling ke belakang. Itu yang aku lakukan sekarang. Setiap kali hati terdetik hendak membebel tentang sukarnya kehidupan, cepat-cepat aku halang. Apa guna asyik berfikir negatif? Asyik berfikir tentang kehidupan yang berlaku tidak seperti dirancang? 

Siapa kita untuk mengubah takdir Tuhan? Jika kita sudah berdoa dan berusaha tetapi itulah jua yang Allah berikan, terima sajalah. Bersyukur dan terus mengorak langkah ke depan. Lupakan di belakang.

Allah itu adil. Dia rampas sesuatu dari kita, tetapi Dia gantikan dengan yang lain. Mungkin pada permulaannya kita amat sukar menerima. Tetapi, jika kita bersabar dan redha, baru kita sedar apa yang digantikan adalah jauh lebih bermakna dan terbaik buat kita berbanding yang dirampas. 

Bukankah Allah telah berfirman, berikan khabar gembira buat hamba-hambaKU yang bersabar? Jadi, apa pun yang berlaku, bersabarlah. Cekal dan tabah.

Selamat Maju Jaya Julida dan rakan-rakan semua! (^_^)

Friday, August 19, 2011

Tamatnya Sebuah Perjuangan

“Aku akan terus dengan I Luv Islam kerana inilah pekerjaan yang menepati jiwa aku, walau apapun cabaran, dan seteruk mana pun ia, aku akan lakukan yang sehabis baik!”

Aku tak mungkin lupa kata-kata yang selalu aku laungkan dalam hati aku, setiap masa, setiap ketika. Tapi, di saat ini, aku hilang segala matlamat yang aku genggam. Kosong.

Dulu mak pernah kata, “Kerja sajalah dekat sini, boleh jaga mak dan abah...”. 

Aku yakinkan mak, ini kerjaya yang aku nanti-nantikan. Bukan mudah diberi peluang menyampaikan penulisan berbentuk dakwah yang mengajak orang ke arah kebaikan. Tambahan pula, ia berbentuk santai, penuh dengan tugasan-tugasan yang cukup berilmu dan berharga, bersama team yang sangat best, sempoi. Walau kadang-kala penuh dengan kerenah, ianya pengalaman yang sangat beerti.

Mak juga pernah kata, “Tinggal di sana guna banyak duit..macam mana nak menyimpan untuk masa depan..kerja sajalah di sini..”.

Aku yakinkan mak, ketika ini aku langsung tidak mengejar wang ringgit. Aku bersyukur dengan gaji yang cukup-cukup makan. Satu saja fikirku, ganjaran dan pahala yang aku dapat hasil dari penulisanku dan usahaku mudah-mudahan lebih bernilai untukku bawa ke akhirat kelak. 

Mak selalu mengomel, “Kadang-kadang kerja sampai lewat malam, pergi jauh-jauh tugasan, hari minggu pun kerja, mak tak suka la tengok anak perempuan buat kerja macam tu...”. 

Aku yakinkan mak, aku membuat tugasan yang berkaitan dengan Islam, insya-Allah banyak manfaat yang aku perolehi. Aku tidak kisah penat demi kerja yang aku sangat sanjungi ini. Semuanya mengajar aku mengenali kehidupan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Kini mak hanya diam. Walau aku tahu perit untuk dia cuba memahami. Aku bukan ingin meninggalkan mak dan abah demi cita-cita, tetapi aku tak sanggup melepaskan pekerjaan ni. Aku berjanji dengan mereka, aku pasti akan balik sebulan sekali. Setiap hari aku menelefon mereka jika tiada kesibukan. 

Aku terlalu bersyukur menjadi seorang wartawan tabloid I Luv Islam. Walau pada mulanya, bukanlah aku yang terpilih, tetapi mungkin sudah rezeki aku di situ. Aku masih bekerja hari ini, tetapi pulang dari kerja terus aku bergegas ke Shah Alam, untuk melapor diri pada keesokan harinya, demi I Luv Islam.

Berada di I Luv Islam juga, aku belajar mengubati hati aku yang penuh dengan rasa kecewa, hampa dan tak bermakna, tak bermatlamat akibat ujian yang bertimpa-timpa. Mengenali seorang demi seorang warga I Luv Islam mengajar aku dimana harusku letakkan kekuatan dan rasa cinta kepada agama, kepada Allah. 

Editor dan rakan di I Luv Islam jua yang mengajar aku bagaimana mengharungi cabaran dengan cekal. Bermula dengan ‘dia’ mendorong hatiku mencintai masjid, betapa indahnya dunia bersama Allah yang kurasa selepas itu.

I Luv Islam juga yang berjaya membuatkan hati aku supaya meletakkan perjuangan bekerja demi Allah lebih utama daripada aku meletakkan perjuangan terhadap dunia dan cinta manusia. Sesungguhnya, syukur yang tak terhingga ku panjatkan pada-Nya kerana memberi aku peluang berada di situ.

Tetapi, ketika ini, semuanya hanya sebuah semangat dan perjuangan yang terhenti secara tiba-tiba. Bagaikan tidak percaya, I Luv Islam kini hanya sebuah kenangan untukku. Mungkin jua inilah ujian dari Allah. Untuk melihat sama ada benar aku meninggalkan mak dan abah demi I Luv Islam semata-mata. 

Aku fahami, tiada yang kekal untuk kita. Mungkin hari ini kita dengan gembira mengatakan bahawa ianya milik kita, kita gembira, bahagia dengannya. Tetapi, tidak langsung mustahil, jika Allah ingin menariknya semula. Sekelip mata. Tanpa apa-apa bayangan. Maka, aku sedari, apa yang digenggam mampu terlepas bila-bila masa saja.

Cuma aku sedikit ralat, aku telah membina pelbagai matlamat demi I Luv Islam. Aku kagum dengan usaha yang dilakukan oleh editor untuk membuktikan kepada pihak pengurusan bahawa majalah dakwah dan Islam ini akan bukanlah satu usaha yang sia-sia. Apa saja ingin aku lakukan untuk membantu beliau mencapai matlamat ini. Apakan daya, setakat ini perjuangan kami.

Apa yang bermain di hati dan fikiranku saat ini, andai inilah ujian Allah terhadap aku, terhadap kata-kataku kepada mak dan abah, apakah aku perlu pergi...menamatkan kerjaya aku di sini, Kumpulan Media Karangkraf...Semoga Allah tunjukkan aku jalan...

Buat rakan-rakan seperjuangan, walau dimana kita dilemparkan, jangan lupa apa yang kita perjuangkan semasa di dalam I Luv Islam. Terus menjaga iman, jaga hati. Semoga kita terus mencari alternatif lain demi 'membasuh' selalu hati kita daripada kekotoran dunia. Our team is always the best team ever! :-)

Raya yang menyaksikan bermulanya perjuangan...
-Alangkah bermaknanya jika manusia melihat dakwah itu sebagai satu pengorbanan, bukan keuntungan...

Raya yang menyaksikan berakhirnya perjuangan...



Thursday, August 18, 2011

Aku & Radio (1)


Semalam radioku disambar petir. Teringat kata-kata aku pada Cik Izan, “itulah satu-satunya penghibur di dalam rumah ni yang kita ada,”.

Tak sangka, sekelip mata tiba-tiba nikmat yang disyukuri itu dirampas semula. Satu letupan kecil berlaku ketika kami sedang enak berbual. Petir telah menyambar radio yang menjadi peneman aku sedari di kampus lagi. Terbakar. Tak berbunyi lagi.

Walaupun radio itu sudah buruk, kelihatannya seperti  ‘hidup segan mati tak mahu’, tidak lagi digunakan di zaman serba canggih dan berteknologi terhebat, aku tetap menghargai radio itu. Aku tak lupa jasanya menemani dan menghiburkan hati aku suatu ketika dulu sehingga kini, sehingga ia tidak mampu lagi.

Maka rumah menjadi sunyi. Nasib baiklah ada radio gabungan siren dan lampu suluh pemberian MBSA. Walau bunyinya kurang sedap, tetapi cukup untuk memecahkan suasana yang sepi. Tambahan pula, apabila lagu raya berkumandang. Cukup gembira, cukup terhibur. 

Siapa mungkin menghargai kewujudan gajet murah itu? Siapa lagi menggunakan radio bateri? Malah, aku juga memandang sebelah mata akan gajet tersebut. Kalau kita bawa ia untuk didengar di dalam bas atau keretapi sekalipun, pasti ada saja mata-mata yang memandang jelek dan bibir-bibir yang tersenyum sinis. 

Kita tidak sedar, betapa bermaknanya radio murah dan kolot itu kepada orang lain. Mungkin suatu hari kepada diri kita sendiri. Seperti aku. Malah, ia mungkin harta bernilai buat orang-orang miskin dan tidak berkemampuan. Kalau hilang atau rosak, boleh menjadi sebuah kesedihan dan tangisan. Di sini aku belajar memahami makna menghargai. Menghargai segalanya yang aku ada.

Ada beberapa iktibar daripada kisah di atas yang ingin aku kongsikan. Pertama, radio yang setia menemani aku akhirnya dirampas Allah sekelip mata saja. Sebagai pedoman, begitulah juga yang mampu berlaku kepada orang-orang yang kita sayangi dan harta-harta yang kita agungi. 

Suatu saat, ibu dan ayah, ahli keluarga, sahabat baik, teman istimewa, suami isteri, pasti akan pergi meninggalkan kita. Pemergian itu takkan mampu dijangka. Mungkin sebentar lagi. Maka, lakukan apa saja untuk menunjukkan rasa penghargaan dan kasih sayang kita buat mereka. Buang segala ego dan sengketa. Sementara semuanya masih ada.

Di satu ketika juga, jika Allah inginkan, harta-harta yang kita agung-agungkan selama ini sebagai penyenang kehidupan mampu lenyap dalam sesaat saja. Maka, manfaatkan harta-harta tersebut pada jalan kebaikan. Galas ia sebagai satu amanah, hanya pinjaman dari Allah sebagai penguji kepada kita. Sejauh mana kita mencintai harta dunia, berbanding harta akhirat.

Iktibar kedua? 

Insya-Allah bersambung lah yer...