Monday, June 20, 2011

Aku & Di Sebalik Tirai Kampus

Gembira dapat diterima masuk ke UIA memang tak dapat digambarkan. Rasa nak menjerit bagi satu dunia tahu. Tapi mula-mula tak percaya juga. Banyak kali ulang telefon sistem pemeriksaan UPU hari itu. “Tahniah. Anda telah terpilih untuk memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu.” Penat operator telefon itu mengulang kerana rasa tidak percaya aku ini. Maklumlah, bukan budak pandai.

Al-kisah budak manja terpaksa berpisah dengan keluarga. Memang sedih dan sadis. Berapa kali sehari asyik ulang ke tandas, buang air mata. Homesick. Tapi, siapa pun tak tahu. Muka nampak ceria, tapi mata tetap sembab kot. Bila orang tanya, jawab, “memang mata saya macam ni kalau kurang tidur.” Masalahnya, terlebih tidur ada la.

Makan, teringat masakan mak. Mandi, teringat gayung kat bilik air umah. Tengok katil, terbayang katil yang aku tidur dengan adik kat umah. Tengok luar tingkap, tak nampak lori jual ikan. Aku nak dengar mak berleter. Aku nak gaduh dengan adik. Aku nak usik ‘peah’ sampai dia merajuk. Aku nak baring sambil tengok kartun atau drama akasia. Ahh..tolong! Jerit batinku. Memang sedih dan sadis.

Telefon mak tiap-tiap hari. Kalendar atas meja lebih dari sepuluh kali sehari mencongak-congak bila nak cuti. Kalau boleh, tiap-tiap minggu sabtu ahad nak lari balik rumah. Bila roomates balik rumah time weekend, aku pulak duduk bilik sorang-sorang tulis diari. Gila lah. Memang sedih dan sadis betul.

Kat sana, aku agak ‘culture shock’. Manakan tidak. Aku pelajar sekolah biasa. Sudah biasa mengenal dunia luar persekitaran budak-budak sempoi. Tiba-tiba berada di dunia yang penuh dengan sopan-santun dan adabnya. Memakai baju kurung ke kelas. Memakai stokin. Berkawan dengan rakan-rakan yang berlatar belakangkan sekolah agama.

Mendengar syarahan-syarahan yang sentiasa menyentuh tentang keagamaan. Menghafaz Surah-surah pilihan. Berbincang di dalam usrah. Buat assignment mesti kena masukkan ayat al-Quran atau Hadis. Wah! Mampukah aku? Soal aku pada diri yang sangatlah kerdil dirasakan ketika itu. Pasti kawan-kawan aku di sekolah pun berfikir, adakah Julida akan transform menjadi ustazah di universiti Islam itu? Oh..inilah aku sekarang kawan-kawan. Tak berapa nak ustazah la. Hehe. Dapat menulis untuk majalah Islam pun jadilah.

Paling sadis dan kecut perut, bangunan hostel yang aku tinggal itu dikatakan penuh dengan kisah-kisah seram. Kolej Kadijah, bangunan lama yang dulunya adalah sebuah hospital. Ada 9 tingkat kalau tak silap aku. Tingkat mana entah dikatakan ada bilik mayat. Ramai yang pernah diusik. Macam-macam jenis cerita momok la aku dengar. Tuhanku..memang tidurku bukan tidur-tidur ayam, tidur-tidur itik pun belum tentu. Kalau boleh aku nak ada waktu siang saja. Malam, tolonglah jangan muncul. Tolonglah...Doraemon, tolong keluarkan alat pembeku waktu........


Nantilah sambung lagi yer....

Friday, June 17, 2011

Aku & Putus Cinta

Cerita ini masa zaman baru lepas sekolah. Zaman remaja. Bukan cinta monyet. Cinta monyet itu bagi aku cinta yang atas dasar suka semata-mata. Tidak melibatkan emosi, tiada pengorbanan, tiada kesetiaan, tiada memikirkan masa depan. Hanya kata-kata “I Luv U”, “I Miss U”. Hebat. Selepas ini kita guna istilah cinta blue hyppo. Macam sweet sikit bunyinya. Cinta main-main.

Cinta monyet, cinta ayam atau apa-apa saja jenis cinta haiwan ini tidak wajar aku rasa diperkenalkan kepada remaja, budak-budak sekolah. Tetapi, apakan daya. Zaman sekolah adalah waktu yang paling mudah jatuh suka. Minat-meminati. Secret admirer. Ingatlah wahai adik-adik (adikku NSMZ jugak), setelah anda dewasa, anda akan rasa betapa palsunya perasaan cinta ketika remaja. Kata kat diri sendiri ke?

Tapi, ada seorang yang aku benar-benar sudah terpaut ketika di bangku sekolah sehinggalah tak dapat lagi duduk di bangku tersebut. Baiklah, straight to the point. Putus cinta atau perkataan glamer masa remaja, “break”, “awak, saya nak mintak break”. Konon mantap la ayat macam itu ketika itu. Ketika aku melalui fasa benar-benar merasai bagaimana putus cinta, kehilangan insan yang digilai, aku memang macam orang tak ingat dunia.

Percaya atau tak. Jika aku katakan, putus cinta adalah salah satu sebab hati aku semakin dekat dengan Allah? Percaya la kan. Tak percaya pun tak kisah. Masa sebelum merasai fasa tersebut, memang la ingat Allah, solat, berdoa. Tetapi, ada satu aura yang tak sampai, belum dapat dirasai. Belum cukup kuat untuk merasa dekatnya Allah. Agungnya cinta Ilahi. Baiklah, berbalik kepada main point.

Hebat orang putus cinta. Boleh duduk dalam bilik seharian tak keluar pun tak apa. Boleh peluk bantal busuk sambil nangis macam tengok filem hindustan. Boleh tak makan lebih dari 12 jam orang berpuasa. Hampa tayang la ayam golek kegemaran depan mata. Tak layan punya. Jam berputar bagaikan langsung tak terasa. Sedar-sedar hari dah gelap. Tutup mata buka mata, nampak si dia sahaja. Oh hebat penangan putus cinta. Anda pun pernah merasa kan? Jangan nak geleng, sila angguk.

Bila mak panggil memasak, rasa malas saja. Goreng ikan kalau terpercik, buat tak tahu saja. Tiba-tiba rasa macam ada kuasa kebal. Tapi, kalau time hebatnya bercinta, terpercik minyak sikit, mulalah nak mengadu kat dia. Ntah apa-apa. Semuanya sayang belaka. Ingat dia sampai tak ingat dunia.

Nak dijadikan cerita, aku berjalan sorang-sorang ke Popular. Bila aku rasa hati perlu mencari ubat, masa lapang perlu diisi daripada melayan perasaan, aku suka mencari buku. Tatkala meninjau-ninjau buku-buku agama, aku terpandang sebuah buku dengan tajuknya, “Penenang Jiwa” daripada Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan.

Aku belek-belek dan selak-selak buku itu. Wah, indah dan bermakna sungguh kata-kata di dalamnya. Terus menusuk ke dalam jiwa. Walau ketika itu duit aku cukup-cukup saja dan ingat nak guna untuk makan kfc, aku beli juga. Tanpa berlengah, aku ke satu tempat di bahagian belakang shopping complex dan terus duduk bersila sambil membaca dengan khusyuknya.

Airmata mula bergenang bila membaca tentang mencintai manusia lebih daripada Allah. Sedangkan Allah yang sentiasa ada di sisi aku. Allah yang tak putus-putus memberi rezeki pada aku. Allah yang sentiasa memastikan keperluan aku sentiasa cukup walau aku bukan daripada keluarga yang berada. Mak dan ayah yang sentiasa memberi kasih sayang, mengapa seorang lelaki juga yang ditangisi dan ditatang? Saat itu, tiba-tiba hati aku merasa begitu merindui Allah..

Dan setelah semua isi kandungan buku itu aku hayati dan selami, sujudku pada Allah mula kurasakan penuh beerti. Aura merasai adanya Allah disisi terlalu kuat menyelebungi hati. Dan sesungguhnya aku bersyukur bila aku telah dipilih Allah untuk menjadi salah seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia..dapatkah aku benar-benar memperbaiki diri ketika di sana nanti? Soalan itu tak henti-henti bermain di dalam kotak fikiran.


Bersambung okey...

*Kepada orang yang sedang menyimpan buku "Penenang Jiwa" itu, silalah baca. Semoga sedikit sebanyak mendatangkan kebaikan.

Wednesday, June 15, 2011

Aku & Stokin

Apa hal pulak stokin nih? Yes, aku nak bercerita tentang stokin. Tetapi bukan pasal hantu stokin. Atau stokin jenis fabrik apa yang elok dipakai. Ia tentang pemakaian stokin. Tahukah anda bahawa kaki juga adalah aurat wanita? Ada yang tahu tetapi malas nak pakai. Ada yang tahu tetapi buat-buat tak tahu. Ada juga yang tahu tetapi was-was.

Was-was di sini bermaksud tidak berapa yakin bahawa pemakaian stokin juga termasuk dalam menutup aurat. Aku tergolong dalam kategori yang ketiga. Pelik budak wartawan I Luv Islam ni! Mungkin begitu kata anda. Tak mengapa. Aku juga bukan terrer sangat bab agama. Masih memperbaiki dan menyebarkan.


Ya, aku tahu stokin perlu dipakai supaya lengkaplah penutupan aurat seorang wanita Muslim. Tetapi, aku pernah terdengar bahawa ia juga mengikut pendapat mazhab. Maka, aku sering saja menjadi seperti biskut chipsmore. Sekejap pakai, sekejap tidak. Ish-ish begini rupanya Cik Julida. Itu bisik anda kan?

Jadi, aku cuba untuk menguatkan keyakinan dan pendirian aku terhadap isu ini. Melalui wawancara antara aku dan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia, Ustaz Mohamad Zamri, kita di Malaysia mengikut Mazhab Shafi’e. Mengikut ajaran mazhab ini, seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan adalah aurat. Maka, secara automatiknya, kaki itu juga aurat ya sayang-sayangku Muslimah di luar sana. Aku juga.

Baiklah. Kita memang rasa payah untuk memakai stokin. Kalau dah nak memakai tudung pun payah. Tetapi, kita mencubalah ya. Setiap apa yang disuruh dalam Islam itu pasti punya hikmah yang besar. Besar sangat-sangat tau. Menurut ustaz Zamri lagi, ‘rahsia wanita’ juga boleh terbongkar dengan hanya melihat pada tumit kaki. Wow! Segera aku merenung tumit kakiku.

Apakah ‘rahsia wanita’ itu? Ohh...itu hanya aku yang tahu. Aku tak mahu bagitahu anda. Silalah cari sendiri. Dan hati-hati jika aku merenung tumit kaki anda yang comel itu. Haha. Just joking okey. Hah, wahai pemuda, jangan jeling-jeling tumit kaki wanita di sebelah anda ya.

Jadi, jelaslah ya, menutup aurat bukan hanya di tubuh badan dan juga kepala. Tetapi termasuklah kaki. Sila pergi beli stokin sekarang dan sarungkan pada kaki anda. Silalah Julida! Dah ada, tapi kat mana ya? Ish-ish...

Tetapi, ada tetapi ya. Bukan hanya pakai ketika pergi pejabat atau berjalan-jalan. Juga ketika ke shopping complex, ke kedai makan, ke pasar malam, ke rumah jiran sebelah dan semua tempat yang seharusnya. Bolehkah aku berbuat begitu? Oh..Tuhan..bantulah aku. Memang susah nak buat baik, nak jadi baik. Tetapi bila dicongak semula, alangkah ruginya sudah menutup aurat tetapi tetap mendapat dosa dan merasa bahang api neraka. Hanya kerana tak sudi menutup kaki ini dengan stokin!

Bukan bertazkirah, cuma nak sama-sama bermuhasabah. Herm...

Tuesday, June 14, 2011

Aku, Wanita Itu & Masjid (2)

Selesai solat, ketika imam sedang berwirid dan berzikir, aku terdengar suara orang menangis teresak-esak. Aku perhati kiri, kanan rupanya. Wanita tadi. Dia mengesat airmatanya dengan kain telekung yang dipakai. “Hah..kenapa dia menangis ni..bacaan imam tadi sayu sangat ke?” bisik hatiku masih memandang ke wajahnya.

Ketika imam membaca doa pula, dia masih begitu. Sehingga aku tidak boleh khusyuk menghayati doa yang dibacakan. Selesai berdoa, aku menghulurkan tangan dan bersalam “semut” dengannya. Dapat aku rasakan kesayuan dalam dirinya ketika berpelukan. Hati aku tetap meronta-ronta untuk berkongsi apa sebenarnya yang membuatkan dia bersedih sebegitu. Busy body jugak aku ni.

“Err..awak okey tak?” tanyaku pada wanita itu perlahan. Dalam hati memang gementar juga. Mana tau tiba-tiba dia sound baik punya atau buat don’t know. Mana nak sorok muka. Tiba-tiba dia memandang wajah aku, kemudian mata aku. “Hah sudah...mesti kena kaw-kaw ni..” bisik hatiku. “Jom kita duduk kat sana..” ujar wanita tersebut sambil menuding jari ke satu sudut di tepi dinding masjid. Aku ikut saja.

“Saya minta maaf la kalau saya buat solat awak terganggu tadi..” wanita itu bersuara.

“eh..taklah..saya cuma bertanya, kalau-kalau awak nak berkongsi ke..” lantas aku menjawab. Sedangkan dalam hati, memang terus tak khusyuk solat aku. Maklumlah, iman lemah. Wanita itu diam seketika. Sambil mengurut jari-jemari. “kalau awak taknak kongsi takpela..heh ntah apa-apa la saya ni kan..baru kenal dah sibuk-sibuk hal orang..” jawab aku sambil tersengih-sengih. Mesti nampak tak ketahuan betul aku ni.

“tak..takpe..sebenarnya saya rasa bersalah..sejak kekasih lama saya balik pada saya, saya dah tak macam dulu..lupa pada Allah..”

Eh, takkan pasal tu pun sedih sangat. Macam dah buat dosa besar je. Bisik hati aku.

“awak tak percaya ek? Itu saja yang saya sedihkan..cinta dunia selalu melalaikan kita. Dulu masa saya putus dengan dia, saya asyik solat je. Berdoa tak kira masa. Sampailah saya rasa tenang. Tiba-tiba dia nak sambung balik hubungan kami. Saya terima. Lepas tu saya dah lalai. Tak kuat iman macam dulu..Malah jadi bertambah teruk..” terang wanita itu panjang lebar bila melihat aku yang hanya terdiam.

“Er..bukan tak percaya..saya cuma tak sangka yang awak sedih sangat pasal tu..bagusnya..awak betul-betul kesal dengan kelalaian awak..” jawabku perlahan.

“Sebelum ni saya terus hanyut sampailah satu ketika tu..saya tengah memandu..waktu malam..tiba-tiba perut saya sakit sangat..memang tak tahan sangat..pedih..saya cuma ingat pada boyfriend waktu tu. Terus ambik henset dan call boyfriend saya..tapi tak berjawab..saya berhenti kat tepi kedai..saya nak minta tolong orang tapi saya rasa tak boleh nak gerak langsung..sakit..lalu saya teringat pada Allah..saya berdoa..puas berdoa..supaya hilangkan sakit ni..”

Tutur katanya sekejap perlahan, sekejap laju. Dapat aku lihat airmata yang bertakung menunggu masa untuk mengalir di pipinya. Dia meneruskan kata-kata,

“sambil tu saya tiba-tiba tersedar..kenapala time macam ni baru saya nak berdoa dan minta tolong pada Allah bersungguh-sungguh..sedangkan orang pertama yang saya ingat tadi adalah boyfriend saya..kejamnya saya..jadikan Allah pilihan selepas lelaki yang masih tiada apa-apa ikatan dengan saya..saya menangis..menangis menahan sakit dan menahan penyesalan yang timbul..”

Airmata yang jatuh dikesat dengan cepat olehnya. Aku juga tak mampu bertahan lagi. Tetapi aku cuba untuk tidak menitiskan air mata. Aku tak suka menangis di hadapan orang. Tunggulah kehadiranku wahai tandas.

“Alhamdulillah..tak lama tu, sakit perut makin hilang..saya terus ucapkan syukur pada Allah dan berjanji pada diri saya, saya takkan lalai lagi dengan cinta manusia..” katanya sambil tersenyum sedikit.

Terpana aku mendengar ceritanya. Aku masih terdiam. Fikiran pula melayang memikirkan diri sendiri. Aku pun lalai juga dengan cinta manusia. Ish-ish..sedar-sedarlah Julida.

“Minta maafla buat awak termenung pulak..” kata wanita itu mematikan lamunanku.

“Er taklah..saya cuma rasa saya pun sama..tapi, tak sedar-sedar lagi macam awak..”

“Takpe..awak student ke?” tiba-tiba dia melangkau dari alam sedih dan kesal ke alam realiti.

“tak..dah keja..eh, ha’a..dah pukul dua lebih pun..nak masuk ofis ni..” kataku sambil merenung sekilas jam di tangan. Terbayang di mataku encik editor.

“ok..terima kasih sudi tanya masalah saya..saya nampak...,” belum sempat dia menghabiskan bicaranya, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dan dia seperti harus bergegas ke satu tempat. Selepas bersalam, dia terus berlalu meninggalkan aku yang masih membetulkan tudung.

Tiba-tiba aku pula rasa nak nangis. Terfikir aku, memang kejamnya manusia. Meletakkan kasih sayang dan cinta kepada manusia lebih dari kepada Allah. Bila dalam kesusahan, bila tiada manusia dapat membantu, baru terhegeh-hegeh nak minta tolong Allah. Bukan mengata wanita itu, tetapi tuju pada diri sendiri juga.

Aku ingat lagi masa aku putus cinta kali pertama dalam hidup...


Bersambung lah lagi wei...

Thursday, June 9, 2011

Aku, Wanita Itu & Masjid

Selesai semua kerja untuk minggu ini. Mungkin inilah kali pertama aku berjaya menghantar semua story sebelum dateline. Syabas Julida! Maklumlah, sebenarnya cover dua story saja minggu ni.

Bila tak ada kerja, secara automatik aku mulalah memasuki dunia ‘blues untuk aku’. Masalah-masalah yang aku simpan kemas-kemas dalam kotak hati pun berterabur keluar berpusar-pusar di fikiran. Lantas perasaan menjadi gusar. Pelbagai persoalan berpusu-pusu meminta jawapan. Nah! Jiwa kacau.

Maka, siapa bilang orang yang menulis penulisan berbentuk keagamaan atau motivasi boleh memiliki ketenangan sepanjang masa? Kita semua manusia yang sama. Kadang-kadang boleh jadi mat cool, kadang pula boleh jadi ratu air mata, ada ketika boleh jadi harimau kelaparan.

Sebelum hati jadi makin tak keruan, lebih baik aku cari cara untuk kawal semua ini. Tiba waktu lunch, aku gerak keluar dari ofis dan memandu keretaku ke masjid. Harap-harap dapat solat jemaah di sana. Terus-terang aku katakan, ketenangan yang kita perolehi di rumah Allah itu terlalu indah. Berada di situ, aku terasa seperti dunia itu jauh dari aku. Masalah bukan lagi musuh ketat. Yang ada cuma rasa kehambaan dan ketenangan.

Kalau ada sesiapa yang masih tidak percaya, cubalah jejakkan kaki anda ke masjid. Duduk di situ, beriktikaf sebentar di situ. Jika ada rasa-rasa sakit hati dengan sesiapa di dalam hidup ini, pasti ketika di situ, virus bahaya itu tiada lagi. Yang ada cuma merenungi dan menyesali kesilapan diri sendiri, mengagungi kebesaran dan kekuasaan Ilahi. Dan pastinya selepas itu hati meronta-ronta untuk sentiasa datang mengunjunginya lagi.

Sebelum ini, aku tidak rasa masjid itu terlalu bererti untuk aku jadikan tempat mencari ketenangan. Mungkin pergi shopping. Mungkin tidur. Mungkin solat dan berdoa saja di rumah. Mungkin main game. Mungkin layan dvd. Mungkin pergi makan Mc’D. Lagipun masjid itu seharusnya menjadi tempat untuk lelaki. Mungkin wanita hanya pergi ketika solat terawih atau solat hari raya. Tipikal sungguh pemikiran aku.

Tetapi, pertama kali aku memaksa diri aku ke situ, betapa indahnya perasaan yang aku nikmati. Kuatnya aku rasakan kehadiran Allah dalam hatiku. Mendengar tazkirah yang sedang disampaikan selesai solat jemaah, aku rasa betapa ruginya baru kini masjid itu aku sanjungi. Betapa ruginya aku melepaskan ilmu-ilmu yang dicurahkan secara percuma di situ hampir setiap malam.

Menyedihkan. Perkara paling indah dan berharga yang terdapat di masjid, kurang dimengerti. Aku lihat sekeliling, yang ada cuma pakcik-pakcik, makcik-makcik, datuk-datuk, nenek-nenek dan anak-anak kecil. Orang muda yang sebaya aku, atau remaja, tak sampai enam orang. Mungkin orang muda lebih gemar meluangkan masa di shopping complex, di panggung wayang, di kedai-kedai makan. Mungkin orang bekerja terlalu penat sehingga mahu berehat saja di rumah. Begitu juga aku.

Namun, kini aku sedari betapa hebatnya penangan sebuah tempat yang bernama masjid. Sungguh aku bersyukur dan jutaan terima kasih setinggi langit aku ucapkan kepada seorang sahabat yang telah membuka pintu hati aku untuk mencintai rumah Allah. Salute di atas dorongan mu!

Sampai di masjid, aku parking PJJ. Ketika itu azan mula berkumandang. Aku berjalan perlahan-lahan menuju ke tempat wuduk. Selesai berwuduk, aku berjalan berlenggang ke ruang solat di tingkat atas. Maklumlah, imam baru angkat takbir, lewat sebentar tak apa. Memang beginilah manusia, bila nak berjumpa Allah, selalu saja bersikap berlengah-lengah dan sambil lewa.

Tiba-tiba ada seorang wanita memintas aku dengan pantas sekali. Dia jalan terkocoh-kocoh seperti dikejar anijng. Tetapi bukan seperti lari marathon. Berlari-lari anak laju menuju ke ruang solat. Tampak benar tergopoh-gopoh. Dalam hati aku berkata, “dia ni takut tak sempat solat jemaah ke? Alah..imam baru angkat takbir je..”.

Pandanganku terus mengekori langkahnya sehingga dalam beberapa saat saja kelibatnya sudah hilang dari pandangan. Ketika aku memasuki saf di bahagian hujung sekali, aku lihat dia di sebelahku. Khusyuk sekali dia solat. Tampak jelas pada wajahnya. “Kenapa aku pula berlengah-lengah lagi ni, sempat pula kaji orang tu solat khusyuk ke tak,” bidas aku pada diri sendiri.


Bersambung...

Hati Yang Kau Sakiti

“Aduh, sakitnya hati dengan perangai dia ni!”

Bukan senang memuaskan hati orang-orang di sekeliling. Ibu bapa, ahli keluarga, sanak-saudara, teman-teman, majikan, rakan sekerja, termasuklah orang-orang yang tak dikenali.

Kita menjadi diri sendiri, orang mengeji. Kita berpura-pura, orang kata hipokrit. Jadi, bagaimana lagi menjadi seseorang yang disukai? Malahan, para ulama dan juga perdana menteri pun ada juga yang membenci.

Yang terasa dibenci selalu begini,

Mungkin biar sahaja apa orang nak kata. “Kalau tak suka pergi jauh-jauh dari aku!”
Mungkin berfikiran negatif terhadap mereka. “Bukannya dia baik sangat pun!”

Yang membenci sentiasa begini,
Mungkin biar sahaja dia itu sendirian. “Tak ingin aku berkawan dengan orang macam itu!”
Mungkin bersangka buruk terus-terusan. “Memang suka menyakitkan hati orang!”

Alangkah indahnya dunia jika kita saling menerima kelemahan dan keburukan diri sendiri dan orang lain dengan saling nasihat-menasihati dan mahu memperbaiki.

Kerna di dalam diri semua orang, sesiapa jua, pasti ada sesuatu yang dia tidak suka dan selesa dengan perbuatan dan percakapan orang lain. Oleh itu, jelaskan supaya dia mengerti.

Kerna di dalam diri setiap orang, sesiapa saja, pasti ada tindakan yang tidak disedari mampu mengguris dan melukakan perasaan orang lain. Oleh itu, terimalah kritikan supaya diri mampu diperbaiki.

Buang ego, buang tanggapan “aku lebih baik daripada dia”.

Cipta ikatan ukhwah yang dibajai dengan kejujuran dan kasih sayang. Jalin tali silaturrahim yang disimpulkan dengan niat yang tulus dan saling menghormati.

“Semua amal manusia akan diperlihatkan kepada Allah pada setiap hari jumaat sebanyak dua kali, hari isnin dan hari khamis. Oleh itu, setiap hamba yang beriman akan diampuni dosanya kecuali hamba yang ada permusuhan antara saudara segamanya. Difirmankan kepada para malaikat: Tinggalkanlah atau tangguhkanlah (pengampunan) mereka berdua sehingga mereka kembali berdamai.” (Riwayat Muslim)

Jom kita tinggalkan rasa sakit hati, sikap sering menyakiti. Jangan simpan penyakit hati.

Kepada kawan-kawan, sila maafkan jika saya ada menyakiti hati sesiapa sepanjang hidup di dunia.

Bak lirik lagu Too Phat-Alhamdulillah, “bukan berkhutbah, cuma betuli diri jua...".

Belakang, Kini & Depan

“Orang melihat masa depan, dia pula mengenang lagi yang di belakang. Kalau difikirkan pun tak guna, bukan boleh dibawa ke depan dan diubah semula,” lantang benar rakan aku ini berkata-kata.

Memang betul. Tepat sekali. Untuk apa kita memikirkan peristiwa lama yang cuma merobek parut luka di hati, mencalar ketenangan fikiran. Semuanya sudah berlalu, tinggal kenangan, sebuah sejarah.

Pandanglah apa yang ada sekarang. Apa yang ada di depan mata. Kerna jika kita terus membilang-bilang perkara di belakang, tiba-tiba kita hilang sesuatu yang berharga disisi kita. Maka, semuanya melayang.

Renung yang di depan bukan dengan kepastian. Tetapi, dengan usaha dan harapan. Tinggalkan yang dibelakang, hargai yang ada sekarang, coraklah apa yang bakal berada di depan.

Jika dibelakang adalah sebuah kegagalan, pastikan kini adalah sebuah percubaan, supaya yang di depan adalah sebuah kejayaan. Kebahagiaan dan kejayaan yang bermula dengan kegagalan, keperitan dan rintangan menjanjikan satu kepuasan yang amat indah dalam kehidupan.

Kecewa biarlah penuh bergaya. Bergaya yang dimaksudkan, tidak gentar untuk terus mencuba.

Terima kasih kawan kerana mengajar aku melihat yang di belakang, kini dan di depan dengan seukir senyuman.

“Sesungguhnya, penyesalan yang berlarut-larutan terhadap kegagalan masa lalu dan tangisan atas penderitaan dan kekalahan merupakan satu fenomena kekufuran dan marah terhadap takdir-Nya.” -Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni-

.

Ceritera Cinta Hampa

Irdina memandu laju keretanya. Kereta yang setia menemani kemana saja pinta hati Irdina. Bukan seperti manusia. Tiada siapa yang sanggup mengikuti dirinya jika diajak ke hujung dunia.
Dia terus memecut. Tiada arah tuju. Tiada destinasi dalam fikirannya. Yang ada hanyalah perasaan ingin terus berjalan tanpa berhenti. Apabila wajah lelaki yang pernah dicintainya sepenuh hati muncul bermain-main di mata, setiap kali itulah dia semakin memecut laju.

Memori bersama tidak pernah terpadam. Rindu tidak pernah terhenti walau berulangkali diri menafi.

Irdina tidak langsung mengerti akan perasaannya. Mengapa mesti dia terus mengingati dan mencintai seorang lelaki yang sudah pun pergi dari hidupnya. Lelaki itu tak ingin memilikinya. Lelaki itu tak mungkin mencintai dan menyayangi dirinya seperti dahulu lagi.

Irdina sebenarnya bertuah. Ketika ini, ada orang lain yang sudi membahagiakan dirinya. Ada yang ingin mencurahkan kasih sayang pada hatinya yang kian hampa dan terus derita. Namun, ternyata Irdina tewas. Tewas untuk membuka ruang itu kepada lelaki lain. Dia mencuba dan terus berusaha..tetapi tetap lelaki itu yang menyesak di dada.

Ketika hati mulai beristighfar, kereta diberhentikan entah di jalan mana. Irdina terus menangis semahunya. Bertanya di dalam hatinya, mengapa begitu tegar lelaki itu membiarkan cinta yang terbina sekian lama musnah begitu saja? Terlalu murahkah kasih sayang dan cinta yang aku berikan sehingga kini ia cuma terdampar hampa? Irdina menarik nafas panjang. Cuba mengembalikan kewarasan fikirannya.

Biar apa pun Irdina ketika ini dan di hari yang seterusnya. Sendiri atau menyepi. Membiarkan diri terus mencintai tanpa memiliki. Dia tetap mendoakan lelaki itu bahagia dan sudah temui apa yang dicari.

Destinasi sebenar Irdina adalah sebuah tempat yang cukup indah, cukup mendamaikan. Berada di rumah-Nya, hati Irdina tenang. Mengadu segala keperitan yang dirasai. Meminta secebis kekuatan dan kesabaran agar menerima kenyataan ini. Merayu supaya hari-hari yang dilalui mampu diteruskan dengan senyuman dan keceriaan. Biarlah hati ini hanya mencari kasih Ilahi yang hakiki.

Dan begitulah hari-hari yang terus dilalui Irdina.


Pengajaran yang dapat diambil: Usahlah biarkan hati hanyut mencintai seseorang. Menyayangi biarlah berpada-pada. Supaya kelak jika terluka, sembuhnya tidak mengambil masa yang lama. Carilah cinta Allah....itulah kebahagiaan abadi. Dia tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik.” (Ali-Imran: 14)

Selamat Hari Mak!

Wanita itu
Mungkin tiada apa mereka pandang padanya
Tetapi bagiku, dialah enjin hatiku yang sentiasa mengaum dengan gahnya.

Jantungnya sentiasa berdegup demi kami
Kakinya sentiasa berdiri demi kehidupan kami
Tangannya sentiasa bekerja demi kebahagiaan kami
Tulang empat keratnya sentiasa dikerah demi keselesaan kami
Bibirnya sentiasa berceloteh demi menegur kami yang nakal
Telinganya sentiasa mendengar luahan kami yang manja
Mata hatinya sentiasa melayan kerenah kami yang mengada-ngada.

Ada kala kami terlupa, dia tidak.
Ada waktu kami terkeliru, dia masih di situ.
Ada ketika kami menyakitinya, dia tetap bersama.
Dia ingin kemewahan itu, tetapi katanya biarlah hanya untuk kami.

Dia damba kesenangan ini, tetapi katanya biarlah cuma kami yang miliki.
Dia impi kesihatan itu, tetapi katanya ganti saja ia buat kami.
Dialah, wanita itu, ibuku.

Mak...doa kami anak-anak akan sentiasa mengiringi perjuanganmu.
Walau kau tidak membaca semua ini,
Seluruh alam menyaksikan betapa aku menghargai pengorbananmu.

Dedikasi khas buat mak,
Zebidah binti Yunus.