Sunday, July 24, 2011

Dia Baik Sangat, Tak Layak Untuk Aku!

“Kalau ada rupa, ada harta, hati macam setan tak guna jugak!”

Wah, ganas dialog aku kan. Aku rasa ini yang selalu aku dengar orang cakap bila ada yang nak kenen kan diorang dengan pasangan yang kacak, jelita dan berharta. Konon-konon tak nak la, takut tak bahagia. Orang yang macam ni tak memandang material. Tapi tak lah sampai pengemis pun dia sapu asal hati baik. Kalau boleh yang sederhana, tapi hati mau suci la!

Tapi, kali ni aku nak berbincang dengan korang tentang orang yang dah berjumpa dengan pasangan yang berhati baik memang dia pun salute habislah, tapi tiba-tiba dia rasa patut lepaskan orang tu untuk orang lain yang lebih baik. Kononnya dia tak layak la.

“Dia tu baik sangat...aku rasa memang tak layak gila lah! Dia boleh dapat orang yang lebih baik daripada aku, so aku lepas dia..”

Kalau orang macam ni kita cakap je, “hang tu memang jenis tak reti bersyukur! Dah Tuhan bagi yang baik, hang tolak. Yang jahat, lagi la hang takmau! Dah tu hang nak yang baik+jahat ka?”

Tapi, pandai pula dia bidas balik, “aku rela menderita asalkan orang yang aku sayang tu bahagia..sebab aku rasa orang lain yang boleh bahagiakan dia, aku tak mampu...”

Manusia memang meng’konfius’kan, kan?

Kalau dah tau tanak orang baik, baik awal-awal tak payah cari orang baik. Masa nak berkenalan tu, pergi tanya kawan dia dulu, kalau baik, haa..adios amigos la. Janganlah gatal-gatal nak pergi tackle pulak! Dah bila dia dah tangkap cintan kat kita, nak lepaskan pulak sebab alasan..dia terlalu baik! Wah-wah, memang terbaekk lah orang macam tu...

Pada pendapat aku...dan dari apa yang aku rasa...kalau kita dah jumpa dengan seseorang yang cukup baik, melayan kita dengan baik, menjaga hati dan perasaan kita...kita juga sepatutnya jaga dia baik-baik. Kalau timbul perasaan rendah diri sebab kita tak sebaik dia, bukan undur diri..tetapi, kita juga patut jadikan sifat dia sebagai contoh. Bangkit dan jadi baik seperti dia!

Bersyukurlah Allah kurniakan seorang yang baik buat kita! Terima dirinya kerana Allah.

“Barangsiapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.” (HR. Abu Dawud)

Lupakan kisah-kisah lama. Dosa-dosa silam. Diri kita adalah apa yang kita ada sekarang, bagaimana kita sekarang. Jadi, bentuklah diri yang ada sekarang agar setanding dengan dia. Kalau tak setanding pun, sekurang-kurangnya kita tak sia-siakan kebaikan dia pada kita.

Ingat, kalau kita jahat, Allah beri kesempatan kita bertemu seorang yang baik, mungkin untuk dia bantu kita berubah. Apa yang kita lihat pada dirinya membuatkan kita melihat apa yang ada dalam diri kita. Itu akan menimbulkan rasa menyesal dan kita pasti bermuhasabah diri. Justeru, jangan sia-siakan peluang itu. Hargailah seseorang yang baik yang ada bersama kita.

Mungkin dia hanya pinjaman Allah buat kita. Satu hari, andai ditakdirkan dia hilang dari hidup kita..sekurang-kurangnya kita telah memanfaatkan setiap kebaikan yang dia lakukan buat kita untuk mencuba menjadi yang terbaik.

Percayalah, orang baik yang terus bersabar bersama seorang yang ‘nakal’, tiada apa yang diimpikannya selain ingin berusaha membimbing dan melihat orang itu mampu berubah. Jangan biar pemergiannya kelak mencipta penyesalan di hati kita untuk selamanya...

Selamat bermuhasabah diri...Julida dan anda sekalian...:-)

Thursday, July 7, 2011

Aku & Remove Friend

“Weh, awat hang remove dia kat Facebook? Hang benci kat dia eh?”

Setahu aku, aku tak pernah tergamak remove sesiapun dari friendlist di Facebook aku. Mestilah aku tahu, sebab diri aku. Apalah Julida ni.

Tapi, di dalam sejarah pengetahuan dan kesedaran aku itu, aku terpaksa remove seseorang. Aku tak tahu bagaimana perasaan dia apabila melihat profile aku dengan tertera sebuah kotak yang tertulis ‘Add Friend’. Pasti dia tertanya-tanya, kenapa nak kena add lagi ni? Itu maknanya awak bukan kawan saya lagi di dalam FB lah!

Hemm. Kenapa aku kena remove dia? Adakah kerana aku sakit hati, mahu lupakan dia, benci dia, tak mahu dia wujud lagi dalam hidup aku, atau aku meluat tengok muka dia dekat profile picture? Tiada satu jawapan yang betul.

Aku terpaksa remove dia kerana aku terpaksa. Terpaksa demi kebaikan dia. Demi kebaikan aku. Demi kebaikan semua. Aku percaya, jika kita berkorban supaya orang lain bahagia, insya-Allah kita juga akan bahagia. Allah kan Maha Adil.


Ini kesimpulan daripada pemerhatian aku terhadap kisah hidup yang mustahil, palsu dan mungkin juga benar. Mengapa kita perlu remove bekas kekasih, bekas tunang, bekas suami dari FB? Jawapannya satu saja, supaya kita tak jadi stalker!

Cuba bagitau aku, siapa yang boleh tahan diri dia dari tengok profile bekas kekasih, apa status dia, wajah terkini dia, apa yang dia buat, masih hidup lagi ke atau...(agak kejam ayat ini, bukan untuk ditiru ya!). Awak boleh? Oh hebat. Tahniah.


Hakikatnya, kita tidak mahu menyusahkan diri sendiri terus mengambil tahu tentang orang yang sudah tiada apa-apa hubungan dengan kita dan kita sendiri mahu dia hidup bahagia tanpa perlu tahu tentang diri kita. Kita boleh berkawan dengan bekas kekasih? Boleh kah? Berkawan macam biasa, tanpa ada apa-apa perasaan?

Kalau ada yang boleh, aku memang respek tahap gunung everest lah! Aku tak boleh. Bukan berdendam, bukan berharap. Tetapi, itulah hakikat.


Jadi, aku harap dia tak salah faham jika dia tak wujud lagi di dalam buku muka aku. Aku cuma memberi ruang dia untuk hidup bahagia tanpa aku. Aku pula cuba berdikari dan mencari bahagia tanpa dia. Haha jiwang la pulak. Aku rasa dia pun tak kisah. Tapi, aku yang kisah. Tak suka orang salah faham dengan tindakan aku. So, good luck and have a nice life bro! =) -Rock pulak entri aku kali ni-

Bukan memutuskan silaturrahim, sekadar membiarkan kau terbang bebas.

Kalau dia tak baca pun, sapa-sapa yang kenal dia, tolonglah sampaikan ye!



Monday, July 4, 2011

Aku, Lagu & al-Quran

Seronoknya karok kan? Atau dalam bahasa penuhnya, karaoke. Terasa puas dapat mengeluarkan suara menyanyikan irama-irama syahdu cinta. Rock, balada, pop pun memang terbaekk punya. Tambah pula suara merdu, memang cun lahh! Tapi, sedar tak, hati cuma bertambah gelisah dan lalai dengan kenikmatan melagukan muzik-muzik keduniaan.

Dengar lagu cinta yang serba indah membawa kita terbang mengkhayalkan sang kekasih. Terasa ingin bersama, menyulam cinta, berpadu rindu dan menyatu rasa. Dengar lagu putus cinta mencarik-carik hati menyesali kisah sedih. Terasa ingin membawa diri, membakar gambar bekas kekasih, mencaci pengkhianatan dan perpisahan yang terjadi. Dengar lagu dangdut menggerakkan tubuh terasa melonjak-lonjak ingin berjoget, bergembira, enjoy tanpa sebarang duka. Dan begitulah sebaliknya. Maaf andai ayat perumpamaan tersebut tidak sesuai.

Aku tidak mengatakan salah meminati muzik dunia, kerna aku juga sama. Cuma ingin menyedarkan bahawa tidak perlu terlalu fanatik. Cukuplah sekadar hiburan sampingan-sampingan sahaja. Hiburan berunsurkan keduniaan cuma mengundang penyakit jiwa kacau, paling tidak, jiwa sempoi. Sempoi yang membawa perasaan kita jauh..dan terus jauh..dari Allah. Dengarlah nasyid, Qasidah..memang korang rasa poyo dan konon baik, tetapi, jika benar-benar dihayati, hiburan sebegitu yang lebih mengasyikan tanpa melalaikan kita dari-Nya.

Lagukan al-Quran. Kitab suci ini yang seharusnya menjadi rakan karib utama kita, hiburan sensasi sentiasa di hati. Sekarang, kita lebih suka akrab dengan telefon bimbit, iPad, laptop, pakwe, awek atau bantal busuk (eh, ada kaitan ke?). Kalau tak ada, rasa semacam je kan? Tak. Okey. Sejak aku khatam al-Quran ketika darjah tiga, aku semakin menjauh darinya. Aku sudah jarang-jarang melagukan isi-isi kandungan di dalamnya. Aku tidak sempat lagi membaca kisah-kisah dan panduan lengkap yang disediakan olehnya.

Selalu aku hanya memandangnya yang terletak tinggi di atas almari sambil berkata di dalam hati, “maaflah, dah lama tak baca kau. Nanti aku baca yer. Ampunkan aku Ya Tuhan kerana sudah lama tidak membaca kalam-Mu ...” Inilah manusia yang mudah lalai dan lupa. Menyanyi lagu Meet Uncle Hussien dua tiga kali tak pernah penat. Melalak lagu Sixth Sense berulang-ulang kali tak kering air liur. Tetapi, bila nak baca al-Quran, rasa malas, baca setengah muka surat pun dah rasa mengantuk, tekak kering. Dasyatnya wahai aku.

Betapa Allah Maha Pengampun. Ketika aku mulai sedar akan kekhilafanku, aku diberi jalan untuk kembali mencintai kalam-Nya yang indah dan penuh azimat itu. Di kampus, aku ditempatkan bersama rakan-rakan sebilik yang menjadikan al-Quran sebagai rakan karib mereka, malah santapan harian yang menyelerakan.

Aku masih ingat, aku langsung tidak terfikir membawa al-Quran ketika masuk ke UIA. Tatkala malam tiba, aku lihat teman-teman sebilik mengeluarkan al-Quran selepas solat Maghrib lalu melagukannya penuh kemerduan dan menyentuh perasaan. Hanya aku yang bergegas melipat telekung dan sejadah. Aku lihat mereka leka dan tenggelam dalam keasyikan mengaji. Menitis air mataku. Terbayang akan al-Quran yang berdiri molek di atas almari di ruang bilik yang telah lama tidak ku sentuh. Sesungguhnya aku terlalu rindu....

Hatiku melonjak-lonjak untuk mendapatkan al-Quran. Aku juga ingin membacanya. Satu malam, teman sebilikku bagai mengerti kehausan hatiku yang meronta-ronta ini, “Ida nak baca al-Quran? Ambillah Dayah punya ni..” aku terus mencapai dan membacanya sehingga puas hatiku. Mataku berlinangan dengan air mata lagi. Terima kasih Ya Allah kerana gerakkan hati sahabatku mengerti akan rasa rindu ini.

Alhamdulilah, setelah itu setiap malam aku menjadikan al-Quran sebagai makanan rohani. Indah...penuh ketenangan..jiwaku terasa cukup...sehinggakan jika satu malam aku tidak membacanya, hatiku menjadi gelisah, resah dan bersalah. Namun, manusia, iman tak selalu tetap di dada. Kadang-kala, apabila aku kepenatan, ada juga aku skip membaca al-Quran, tetapi kagumnya aku pada teman sebilikku membakar kepenatan. Dia tidak pernah meninggalkan bacaannya walau sepenat manapun hari yang dilalui. Itu membuatkan aku malu dengan diri sendiri.

Dan seringkali aku membuka lembaran al-Quran, pasti aku teringatkan dia. Aku bersyukur kerana Allah mengurniakan aku sahabat seperti dia. Malah, Allah mempermudahkan terus jalanku dengan memberi aku teman-teman sebilik yang seterusnya juga pencinta al-Quran al Kareem..

Terima kasih teman-teman yang hadir dalam hidupku yang mendorong semangatku terus menyanjungi al-Quran dan sentiasa merindui kalam-kalam penuh azimat itu...mengajar aku mengenal nasyid dan melagukan bait-bait yang memuji Allah dan para Rasul. Cik Khoshiatun, aku kenal UNIC, Mestica, In-Team dari kaset-kaset yang kau gemar pasang kat bilik kita dulu tau! Hehe...

Khoshiatun Fadzilah, Hidayah, ‘Iffah Bazilah, Isma Iliya, Kak Na, Zidni Nuran...semoga kita terus mencintai kitab suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu selama-lamanya..dan rakan-rakan yang lain..percayalah, tiada buku yang terlalu enak dibaca dan mampu memberi ketenangan melainkan buku AL-QURAN.

Jangan tunggu Ramadan, setiap hari tataplah ia, bacalah ia, dan amalkan apa yang terkandung di dalamnya. Perlahan-lahan..lakukan dengan keikhlasan..pasti kita temui sejuta ketenangan dan kedamaian yang tiada ternilai. Julida...jangan tinggalkan rakan karib itu lagi tau!Dan..jangan hanya tau membebel kosong kat sini jer....

Seperti yang ku katakan, hanya berkongsi, betuli diri jua, dan ingin kita sama-sama menyedari keindahan Islam. I Luv Islam! err..bukan promote Tabloid sendiri ok...;-)

Sabda Rasulullah SAW: “Siapa kerap membacakan 10 ayat Quran tidaklah dituliskan daripada golongan yang lalai, Siapa membacakan 100 ayat Quran adalah dituliskan daripada golongan Setiawan dan siapa membacakan 1000 ayat Quran nescaya dituliskan daripada golongan Jutawan”. (H.D Abi Daud M. Abdullah bin Amru bin Al-Ash)

Aku & Ketakutan Malam

Bila malam tiba, hati aku mulalah gundah-gulana. Pusing kiri, pusing kanan. Golek-golek atas katil. Mata tak mahu juga lelap. Aku tengok rakan sebilik, macam dah tak bergerak. Mesti dah lena diulit awan mimpi. Habislah...cepatlah terlelap wahai mata...

Tiba-tiba kedengaran pintu bilik diketuk. Agak kuat. Kemudian senyap. Tiada bunyi tapak kasut atau tanda-tanda ada manusia di luar. Jantung aku mula berdegup kencang. Lebih kencang dari degupan saat berdepan dengan guru displin sekolah dulu. Peluh mulai membasahi dahi. Aku jeling rakan yang tidur di katil sebelah, tak menguit sedikit pun. Huhu..mak..tolong..hanya ayat-ayat al-Quran lah yang berlagu-lagu di hati aku.

Itulah yang aku lalui setiap kali malam tiba. Saat aku masih belum dapat menyesuaikan diri. Aku pernah mendengar orang menolak troli pesakit seperti di hospital. Lalu di hadapan bilik dan terus hilang. Ke mana perginya? Ada lagi. Bunyi kasut tumit tinggi berulang-alik di hadapan pintu bilikku. Pernah sekali aku cuba mengintai dari lubang di bawah pintu untuk mengenal pasti apakah sebenarnya bunyi itu, tetapi tiada apa yang kelihatan. Bahkan bayang pun tiada. Seram kan? Tak? Okey.

Aku cuba memotivasikan diri aku supaya tak menjadi penakut lagi. Supaya malam aku boleh tidur lena. Aku cuba berkata kepada diri, “biarlah ‘diorang’ nak buat apa pun, janji tak cekik aku sudah..tak pernah lagi orang mati kat sini kerana si momok.”

Bila hati dah semakin kuat, ada pulak la lagi cerita-cerita misteri ini membisik-bisik di telinga aku. Kata mereka, ada yang kena kacau masa tengah membasuh baju di bilik air. Jadi, selepas itu aku dan rakan sebilik mesti basuh baju berjemaah. Tapi, sempat lagi buat lawak.

“Kosh, betul kan kosh ni?” tanya aku pada rakan sebilik yang sedang membasuh baju di sebelah sambil melihat kakinya sama ada pijak tanah atau tak.

“Haa..buatla main-main..ni orang laa...” bidas Kosh. Hehe..ingat lagi tak Cik Khoshiahtun?

Masih aku ingat tatkala aku dan Kosh sedang sibuk bercerita tentang kejadian seram di KC, masa itu kami dah nak tidur, kami segera menutup langsir tingkap serapat-rapatnya sehingga tidak mahu ada sedikit pun bayangan tingkap kelihatan. Sampai begitu sekali.

Tiba-tiba ada satu mesej masuk ke telefon bimbitku. Terus aku buka tanpa melihat siapa pengirimnya. Kandungan mesej tersebut, “Dik, nak minta tolong boleh? Tolong longgarkan ikatan kain kapan akak sekejap, ketat sangatlah. Tolong ye..akak ada dekat tepi tingkap ni..” Wah, melompat aku dari katil. Terus pandang tingkap. Nasib baik dah tutup langsir. Tengok sapa pengirim, abang aku rupanya. Hampeh! Aku masih ingat weh...