Friday, August 19, 2011

Tamatnya Sebuah Perjuangan

“Aku akan terus dengan I Luv Islam kerana inilah pekerjaan yang menepati jiwa aku, walau apapun cabaran, dan seteruk mana pun ia, aku akan lakukan yang sehabis baik!”

Aku tak mungkin lupa kata-kata yang selalu aku laungkan dalam hati aku, setiap masa, setiap ketika. Tapi, di saat ini, aku hilang segala matlamat yang aku genggam. Kosong.

Dulu mak pernah kata, “Kerja sajalah dekat sini, boleh jaga mak dan abah...”. 

Aku yakinkan mak, ini kerjaya yang aku nanti-nantikan. Bukan mudah diberi peluang menyampaikan penulisan berbentuk dakwah yang mengajak orang ke arah kebaikan. Tambahan pula, ia berbentuk santai, penuh dengan tugasan-tugasan yang cukup berilmu dan berharga, bersama team yang sangat best, sempoi. Walau kadang-kala penuh dengan kerenah, ianya pengalaman yang sangat beerti.

Mak juga pernah kata, “Tinggal di sana guna banyak duit..macam mana nak menyimpan untuk masa depan..kerja sajalah di sini..”.

Aku yakinkan mak, ketika ini aku langsung tidak mengejar wang ringgit. Aku bersyukur dengan gaji yang cukup-cukup makan. Satu saja fikirku, ganjaran dan pahala yang aku dapat hasil dari penulisanku dan usahaku mudah-mudahan lebih bernilai untukku bawa ke akhirat kelak. 

Mak selalu mengomel, “Kadang-kadang kerja sampai lewat malam, pergi jauh-jauh tugasan, hari minggu pun kerja, mak tak suka la tengok anak perempuan buat kerja macam tu...”. 

Aku yakinkan mak, aku membuat tugasan yang berkaitan dengan Islam, insya-Allah banyak manfaat yang aku perolehi. Aku tidak kisah penat demi kerja yang aku sangat sanjungi ini. Semuanya mengajar aku mengenali kehidupan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Kini mak hanya diam. Walau aku tahu perit untuk dia cuba memahami. Aku bukan ingin meninggalkan mak dan abah demi cita-cita, tetapi aku tak sanggup melepaskan pekerjaan ni. Aku berjanji dengan mereka, aku pasti akan balik sebulan sekali. Setiap hari aku menelefon mereka jika tiada kesibukan. 

Aku terlalu bersyukur menjadi seorang wartawan tabloid I Luv Islam. Walau pada mulanya, bukanlah aku yang terpilih, tetapi mungkin sudah rezeki aku di situ. Aku masih bekerja hari ini, tetapi pulang dari kerja terus aku bergegas ke Shah Alam, untuk melapor diri pada keesokan harinya, demi I Luv Islam.

Berada di I Luv Islam juga, aku belajar mengubati hati aku yang penuh dengan rasa kecewa, hampa dan tak bermakna, tak bermatlamat akibat ujian yang bertimpa-timpa. Mengenali seorang demi seorang warga I Luv Islam mengajar aku dimana harusku letakkan kekuatan dan rasa cinta kepada agama, kepada Allah. 

Editor dan rakan di I Luv Islam jua yang mengajar aku bagaimana mengharungi cabaran dengan cekal. Bermula dengan ‘dia’ mendorong hatiku mencintai masjid, betapa indahnya dunia bersama Allah yang kurasa selepas itu.

I Luv Islam juga yang berjaya membuatkan hati aku supaya meletakkan perjuangan bekerja demi Allah lebih utama daripada aku meletakkan perjuangan terhadap dunia dan cinta manusia. Sesungguhnya, syukur yang tak terhingga ku panjatkan pada-Nya kerana memberi aku peluang berada di situ.

Tetapi, ketika ini, semuanya hanya sebuah semangat dan perjuangan yang terhenti secara tiba-tiba. Bagaikan tidak percaya, I Luv Islam kini hanya sebuah kenangan untukku. Mungkin jua inilah ujian dari Allah. Untuk melihat sama ada benar aku meninggalkan mak dan abah demi I Luv Islam semata-mata. 

Aku fahami, tiada yang kekal untuk kita. Mungkin hari ini kita dengan gembira mengatakan bahawa ianya milik kita, kita gembira, bahagia dengannya. Tetapi, tidak langsung mustahil, jika Allah ingin menariknya semula. Sekelip mata. Tanpa apa-apa bayangan. Maka, aku sedari, apa yang digenggam mampu terlepas bila-bila masa saja.

Cuma aku sedikit ralat, aku telah membina pelbagai matlamat demi I Luv Islam. Aku kagum dengan usaha yang dilakukan oleh editor untuk membuktikan kepada pihak pengurusan bahawa majalah dakwah dan Islam ini akan bukanlah satu usaha yang sia-sia. Apa saja ingin aku lakukan untuk membantu beliau mencapai matlamat ini. Apakan daya, setakat ini perjuangan kami.

Apa yang bermain di hati dan fikiranku saat ini, andai inilah ujian Allah terhadap aku, terhadap kata-kataku kepada mak dan abah, apakah aku perlu pergi...menamatkan kerjaya aku di sini, Kumpulan Media Karangkraf...Semoga Allah tunjukkan aku jalan...

Buat rakan-rakan seperjuangan, walau dimana kita dilemparkan, jangan lupa apa yang kita perjuangkan semasa di dalam I Luv Islam. Terus menjaga iman, jaga hati. Semoga kita terus mencari alternatif lain demi 'membasuh' selalu hati kita daripada kekotoran dunia. Our team is always the best team ever! :-)

Raya yang menyaksikan bermulanya perjuangan...
-Alangkah bermaknanya jika manusia melihat dakwah itu sebagai satu pengorbanan, bukan keuntungan...

Raya yang menyaksikan berakhirnya perjuangan...



Thursday, August 18, 2011

Aku & Radio (1)


Semalam radioku disambar petir. Teringat kata-kata aku pada Cik Izan, “itulah satu-satunya penghibur di dalam rumah ni yang kita ada,”.

Tak sangka, sekelip mata tiba-tiba nikmat yang disyukuri itu dirampas semula. Satu letupan kecil berlaku ketika kami sedang enak berbual. Petir telah menyambar radio yang menjadi peneman aku sedari di kampus lagi. Terbakar. Tak berbunyi lagi.

Walaupun radio itu sudah buruk, kelihatannya seperti  ‘hidup segan mati tak mahu’, tidak lagi digunakan di zaman serba canggih dan berteknologi terhebat, aku tetap menghargai radio itu. Aku tak lupa jasanya menemani dan menghiburkan hati aku suatu ketika dulu sehingga kini, sehingga ia tidak mampu lagi.

Maka rumah menjadi sunyi. Nasib baiklah ada radio gabungan siren dan lampu suluh pemberian MBSA. Walau bunyinya kurang sedap, tetapi cukup untuk memecahkan suasana yang sepi. Tambahan pula, apabila lagu raya berkumandang. Cukup gembira, cukup terhibur. 

Siapa mungkin menghargai kewujudan gajet murah itu? Siapa lagi menggunakan radio bateri? Malah, aku juga memandang sebelah mata akan gajet tersebut. Kalau kita bawa ia untuk didengar di dalam bas atau keretapi sekalipun, pasti ada saja mata-mata yang memandang jelek dan bibir-bibir yang tersenyum sinis. 

Kita tidak sedar, betapa bermaknanya radio murah dan kolot itu kepada orang lain. Mungkin suatu hari kepada diri kita sendiri. Seperti aku. Malah, ia mungkin harta bernilai buat orang-orang miskin dan tidak berkemampuan. Kalau hilang atau rosak, boleh menjadi sebuah kesedihan dan tangisan. Di sini aku belajar memahami makna menghargai. Menghargai segalanya yang aku ada.

Ada beberapa iktibar daripada kisah di atas yang ingin aku kongsikan. Pertama, radio yang setia menemani aku akhirnya dirampas Allah sekelip mata saja. Sebagai pedoman, begitulah juga yang mampu berlaku kepada orang-orang yang kita sayangi dan harta-harta yang kita agungi. 

Suatu saat, ibu dan ayah, ahli keluarga, sahabat baik, teman istimewa, suami isteri, pasti akan pergi meninggalkan kita. Pemergian itu takkan mampu dijangka. Mungkin sebentar lagi. Maka, lakukan apa saja untuk menunjukkan rasa penghargaan dan kasih sayang kita buat mereka. Buang segala ego dan sengketa. Sementara semuanya masih ada.

Di satu ketika juga, jika Allah inginkan, harta-harta yang kita agung-agungkan selama ini sebagai penyenang kehidupan mampu lenyap dalam sesaat saja. Maka, manfaatkan harta-harta tersebut pada jalan kebaikan. Galas ia sebagai satu amanah, hanya pinjaman dari Allah sebagai penguji kepada kita. Sejauh mana kita mencintai harta dunia, berbanding harta akhirat.

Iktibar kedua? 

Insya-Allah bersambung lah yer...

Wednesday, August 10, 2011

Aku & Ujian Ramadan


Benarlah jika Allah mengkehendaki sesuatu berlaku, sekelip mata saja semuanya bisa terjadi. Maka, tidak hairanlah jika seseorang yang kita baru lihat sebentar tadi sedang bergelak ketawa, tiba-tiba sejam kemudian kembali ke Rahmatullah.

Hari ini benar-benar menguji aku, menyedarkan aku. Pagi tadi aku rasa cukup kuat untuk ke pejabat, walau batuk yang ku alami sejak minggu lalu semakin teruk. Setelah aku menaiki kereta, tiba-tiba sahaja aku rasa kepalaku sakit yang teramat sangat. Tangan dan kaki yang bersedia untuk memandu PJJ tiba-tiba mengeletar dan menjadi terlalu lemah.

Namun, aku tetap gagahkan diri. Baru sampai di selekoh keluar dari simpang rumah, pandanganku berpinar-pinar. Tiba-tiba aku tertekan brek. Nasib baiklah tiada kereta di belakangku, jika tidak, mungkin aku dah berada di hospital sekarang. Aku terus gagahkan diri meneruskan haluanku ke klinik berdekatan. Sampai di klinik pukul 8.25 pagi, ku lihat papan tanda di klinik tersebut menunjukkan waktu operasinya bermula pukul 9 pagi.

Aku kembali ke kereta. Sakitnya makin menusuk. Malah, ditambah dengan rasa pedih di dadaku. Pandanganku pula sekejap gelap, sekejap jelas. Saat itu, tiada apa yang ku buat melainkan berserah kepada Allah. Aku terlena di dalam kereta. Pukul 9.05 pagi, aku tersedar. Aku terus masuk semula ke klinik. Doktor kata tiada apa-apa. Mungkin infection batuk membuatkan aku lemah sebegini. Doktor beri aku cuti sakit.

Sampai di rumah, aku terus membaringkan diri. Batukku kian menjadi-jadi. Sakit di kepala dan dada juga kian menusuk. Airmata mengalir tak henti-henti merasakan penderitaan ini. Tiba-tiba aku rasa nak muntah. Aku ke bilik air dan muntahku mengandungi sedikit darah. Aku kembali merebahkan diri . Terus berdoa di dalam hati supaya tetap kuat walau seorang diri.

Ketika terlena kembali, aku bermimpi berada di dalam sebuah keranda. Aku terpinga-pinga, dan bertanya kepada diri, “aku sudah matikah?”. Terus aku menangis dan membayangkan betapa sedikitnya amalanku untuk dibawa berjumpa Allah sebentar lagi. Terbayang olehku akan kehadiran malaikat penjaga kubur. Terasa seperti aku belum bersedia untuk mati. Tiba-tiba aku terjaga, alhamdulillah, aku masih diberi peluang untuk terus bernafas!

Ketika ini, alhamdulillah, sakit kian hilang. Cuma batuk yang masih ada. Aku bersyukur kepada Allah kerana bukan waktunya Dia mengambil nyawaku secara tiba-tiba. Andai saat ini aku ditakdirkan ‘pergi’, apa sajalah amalan yang akan kubawa? Cukupkah dengan ibadat ku selama ini? Aku bekerja menulis cerita-cerita yangmendorong manusia ke arah kebaikan, namun, adakah aku sendiri benar-benar memanfaatkannya dalam kehidupanku?

Ujian hari ini cukup bermakna bagiku. Allah mengajarku sebuah pengalaman yang tiada ternilai. Jika Dia mahukan, nikmat sihat, lapang dan gembira yang kita sedang miliki, sekelip mata saja Dia mampu menariknya semula.

Kawan-kawan semua, masa sihat yang kita miliki ketika ini, nafas yang masih mampu kita sedut demi degupan jantung ini, hargailah ia. Buatlah ibadah sebanyak mana yang kita mampu. Usah biarkan rasa ego, lalai dan malas menjadikan masa berlalu dan terbuang begitu saja tanpa meningkatkan amalan untuk kita bawa di Hari Pengadilan kelak.

Aku harap apa yang aku sedari dan hayati ketika ini, akan terus melekat di hati dan fikiranku selama-lamanya. Begitu juga kepada anda semua. Jadikan Ramadan sedang kita lalui ini, penuh dengan pengertian, memberi kita selimpah lautan ganjaran dan pahala. Kerna kita tidak pasti apakah esok, atau lusa, atau Ramadan akan datang, kita masih menikmati kehidupan di pentas dunia ini lagi?

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (surah al-‘Asr : 1-3)

-Terima kasih setinggi gunung kepada kawan-kawan yang ambil berat terutama sekali kepada seseorang yang sudi menghantar makanan dan koyok tampal. Allah pasti membalas kebaikan anda..aku berdoa selalu!

Tuesday, August 9, 2011

Aku & Terima Kasih!

“Makaseh!!”

Tidak kiralah ucapan terima kasih itu berbunyi kasar. Sebutannya tidak betul. Bergaya Alleycat. Ikhlas atau sekadar menyebut. Tetapi, ucapan azimat tersebut adalah sebuah penghargaan yang memberi impak besar kepada diri seseorang. Percaya tak? Tak? Okay, terus baca.

Dulu, aku kurang mengerti. Apa perlu sangatkah ucapkan terima kasih? Tambahan pula hanya sekadar pertolongan yang terlalu kecil dan remeh. Malah, berterima kasih kepada orang lain kerana mereka melakukan kerja mereka sendiri, mengapa mesti berterima kasih? Bukan mereka menghulurkan pertolongan pun. Terima kasih hanya ulangan kata-kata yang di set dalam sebuah mesin!

Sehinggalah aku memasuki alam pekerjaan. Alam yang mulai mengajar aku erti ucapan terima kasih. Aku bekerja part time sebagai promoter pakaian. Setelah aku mempromosikan pakaian yang dijual, tiada sesiapa mengucapkan terima kasih walau tidak membeli. Aku rasa bosan. Aku rasa sungguh tak bermakna pekerjaan tersebut. Umpama robot pemberi penerangan dan berulang kali menyebut kata pujukan. “Belilah Cik..cantik ni..harganya pun berpatutan..”.

Suatu hari, seseorang telah menyuntik semangat dalam diriku hanya dengan sebuah ucapan terima kasih dan senyuman yang cukup manis. Aku masih ingat akan wajah wanita itu. Selepas dia berlalu pergi, aku rasa lebih bersemangat untuk terus bermain kata mempromosikan pakaian yang dijual. Aneh. Mengapa tiba-tiba aku jadi begini? Apabila ku renung semula, aku yakin ia berpunca daripada dua hadiah bermakna yang diberikan kepadaku sebentar tadi.

Oh, itu sebenarnya magik yang mampu dilakukan oleh sebutan terima kasih. Sudah percaya? Jika belum, buat eksperimen sendiri. Aku juga sudah selesai membuat ujian ATK ini. Ujian Azimat Terima Kasih. Kepada pelbagai peringkat usia. Salah satunya, seorang kawanku membantu mengangkat pakaian yang dijemur tatkala hari mendung semasa ketiadaan aku, aku ucapkan terima kasih. Hari akan datang, dia terus membantu. Seorang kawan membantu aku mengangkat barang yang berat, aku buat dek saja. Hari seterusnya, dia pula buat dek. Begitu rupanya.

Ada satu lagi keadaan yang masih ramai kurang faham akan beertinya ucapan terima kasih. Mengucapkannya kepada seseorang yang melakukan pekerjaan mereka sendiri. Ucapkan terima kasih kepada Jurutol, Makcik Cleaner, Pakcik Pengangkut Sampah, dan pelbagai lagi manusia yang bekerja dengan memberi perkhidmatan kepada manusia lain. Susah benarkah ucapkan terima kasih kepada mereka? Ada yang kata, “Ala, diorang buat kerja tu dapat gaji apa..kalau tak ucap terima kasih pun diorang tak heran..”

Siapa yang tahu hati manusia? Kita boleh scan dan melihat apa perasaannya? Tdakkah kita terfikir, tanpa orang-orang yang sudi melakukan pekerjaan seperti itu, bagaimana fungsi kehidupan terus berjalan dengan sebaiknya? Atau sudikah kita sahaja bekerja sebegitu? Jika tidak, mereka sanggup! Walau atas dasar mencari rezeki punya pasal, apakah terlalu berat dan ego untuk memberi sebaris kata penghargaan buat mereka? Cuba bayangkan anda di tempat mereka.

Aku sudah merasainya. Menjadi seorang pelayan di restoran makanan segera. Penat! Tapi, diri sentiasa digagahkan demi mencari wang dan mengutip pengalaman. Apabila aku hidangkan makanan kepada customer, mereka ucapkan terima kasih walau dengan nada yang kasar, aku rasa gembira sangat! Malah, selepas itu, jika mereka demand macam-macam, aku layan saja kerana ungkapan terima kasih itu bagiku adalah sebuah bayaran yang cukup bernilai untuk aku terus melayani mereka dengan baik.

Terima kasih itu mampu memberi sebuah rasa bahagia. Terima kasih juga dapat menaikkan semangat seseorang untuk terus menghulurkan pertolongan. Terima kasih membuatkan seseorang enjoy dengan kerjanya. Terima kasih juga sebuah kata yang bisa mengeratkan lagi perhubungan dan menambahkan kemesraan. Belajarlah mengucapkan terima kasih.

Terima kasih anda semua!

-Aku tiada harta untuk berkongsi, hanya punya secebis ilmu dan pengalaman untuk dibebelkan buat penghayatan bersama. Aku juga tak punya keistimewaan untuk membuatkan sesiapa gembira, hanya ada sebaris kata untuk diberi, seukir senyuman untuk disedekahi. Terima kasih kerana membaca. Lihat gambarku di FB untuk hadiah sebuah senyuman. =p



Friday, August 5, 2011

Aku & Manja Sangat?

“Sikit-sikit nangis, sikit-sikit nangis, manja sangat!”

Dialog sebegini dah selalu aku dengar. Biarlah orang menggelar aku ratu air mata ke, jiwa lemah ke, manja terlebih ke, tak cukup emotional support ke, cakaplah. Ini diri aku.

Kalau aku menangis bukan bermakna aku stress. Tak bermaksud aku putus asa dalam hidup ni. Tak berkemungkinan aku punya jiwa yang lemah. Tetapi, ramai ke yang percaya ‘menangis merupakan sebuah terapi diri’? Aku rasa tak ramai. Mereka melihat airmata adalah tanda kelemahan.Bagi aku, apabila aku menangis, aku cuba melupakan, dan muhasabah diri.

Yes, aku akui hati aku ni terlalu sensitif. Mudah tersentuh. Mudah terasa. Jadi, aku menangis untuk tenangkan diri aku. Salah ke? Dah ini cara aku. Aku tak minta sesiapa pun pujuk aku atau kisah dengan tangisan aku. Buat tak tahu sudahla kalau meluat sangat. Malah, kalau aku menangis sekalipun, ada ke aku tayang muka seposen ni pada sesiapa?

Maaf. Agaknya penulisan aku kali ini agak beremosi. Bukan emosi, cuma menegaskan. Memberi peringatan. Jangan pernah menilai dalaman seseorang dari pandangan luaran. Kalau jiwa aku lemah, takkan ada senyuman di bibir aku macam sekarang ni dah. Dan aku takkan berada di mana aku berada sekarang.

Tangisan aku yang terbaru kerana seseorang yang melepaskan kemarahannya pada aku kerana kesilapan dirinya sendiri. Ramai yang kata aku yang manja sangat, dia gertak sikit dah terasa. Baiklah, orang yang berkata sebegitu tak meletakkan dirinya dalam situasi aku. Seperti yang kita belajar, bila melihat kepada masalah orang lain, try to put your self in their shoes.

Apabila sesuatu masalah timbul dek kesilapan sendiri, kitalah yang perlu mengawal keadaan dengan sebaiknya. Bukan menjadikan rasa marah sebagai satu kepuasan dan cara melepaskan tekanan. It is normal, bila kita membebel pada seseorang kerana dia telah melambatkan kerja kita. Dan kerana kealpaannya, kita yang perlu menanggung risiko. Maka, patutkah dia pula menengking dan buat 'bebal' pada kita? Gunakan kuasa komunikasi yang baik apabila berada dalam situasi ini.

Aku bukan seorang yang ego. Tetapi, aku mengucapkan jutaan terima kasih di atas layanan sebegitu. Kerana ianya berlaku pada diri aku, bukan orang lain. Dan aku tak rasa dia akan melayan orang lain seperti yang dia lakukan pada aku. Maklumlah, kata orang, aku selalu membiarkan orang mengambil kesempatan ke atas diri aku, dan mudah dibuli. Mungkin kerana itu, ada yang tidak ingin dan tidak mahu menghormati perasaan aku.

Biasalah, kehidupan. Cuma sebagai iktibar kepada semua, jika berada di dalam situasi kemarahan, berikan senyuman dan berkata-katalah dengan lembut. Itu lebih menjernihkan keadaan. Dan apabila melihat seseorang menangis, berikanlah kata sokongan, bukan kritikan. Jika kita ingin diri kita dihormati, begitu juga dengan orang lain.


-Beralah, tak semestinya lemah. Cuba menang dalam konflik, tak semestinya tenang.