Friday, August 19, 2011

Tamatnya Sebuah Perjuangan

“Aku akan terus dengan I Luv Islam kerana inilah pekerjaan yang menepati jiwa aku, walau apapun cabaran, dan seteruk mana pun ia, aku akan lakukan yang sehabis baik!”

Aku tak mungkin lupa kata-kata yang selalu aku laungkan dalam hati aku, setiap masa, setiap ketika. Tapi, di saat ini, aku hilang segala matlamat yang aku genggam. Kosong.

Dulu mak pernah kata, “Kerja sajalah dekat sini, boleh jaga mak dan abah...”. 

Aku yakinkan mak, ini kerjaya yang aku nanti-nantikan. Bukan mudah diberi peluang menyampaikan penulisan berbentuk dakwah yang mengajak orang ke arah kebaikan. Tambahan pula, ia berbentuk santai, penuh dengan tugasan-tugasan yang cukup berilmu dan berharga, bersama team yang sangat best, sempoi. Walau kadang-kala penuh dengan kerenah, ianya pengalaman yang sangat beerti.

Mak juga pernah kata, “Tinggal di sana guna banyak duit..macam mana nak menyimpan untuk masa depan..kerja sajalah di sini..”.

Aku yakinkan mak, ketika ini aku langsung tidak mengejar wang ringgit. Aku bersyukur dengan gaji yang cukup-cukup makan. Satu saja fikirku, ganjaran dan pahala yang aku dapat hasil dari penulisanku dan usahaku mudah-mudahan lebih bernilai untukku bawa ke akhirat kelak. 

Mak selalu mengomel, “Kadang-kadang kerja sampai lewat malam, pergi jauh-jauh tugasan, hari minggu pun kerja, mak tak suka la tengok anak perempuan buat kerja macam tu...”. 

Aku yakinkan mak, aku membuat tugasan yang berkaitan dengan Islam, insya-Allah banyak manfaat yang aku perolehi. Aku tidak kisah penat demi kerja yang aku sangat sanjungi ini. Semuanya mengajar aku mengenali kehidupan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Kini mak hanya diam. Walau aku tahu perit untuk dia cuba memahami. Aku bukan ingin meninggalkan mak dan abah demi cita-cita, tetapi aku tak sanggup melepaskan pekerjaan ni. Aku berjanji dengan mereka, aku pasti akan balik sebulan sekali. Setiap hari aku menelefon mereka jika tiada kesibukan. 

Aku terlalu bersyukur menjadi seorang wartawan tabloid I Luv Islam. Walau pada mulanya, bukanlah aku yang terpilih, tetapi mungkin sudah rezeki aku di situ. Aku masih bekerja hari ini, tetapi pulang dari kerja terus aku bergegas ke Shah Alam, untuk melapor diri pada keesokan harinya, demi I Luv Islam.

Berada di I Luv Islam juga, aku belajar mengubati hati aku yang penuh dengan rasa kecewa, hampa dan tak bermakna, tak bermatlamat akibat ujian yang bertimpa-timpa. Mengenali seorang demi seorang warga I Luv Islam mengajar aku dimana harusku letakkan kekuatan dan rasa cinta kepada agama, kepada Allah. 

Editor dan rakan di I Luv Islam jua yang mengajar aku bagaimana mengharungi cabaran dengan cekal. Bermula dengan ‘dia’ mendorong hatiku mencintai masjid, betapa indahnya dunia bersama Allah yang kurasa selepas itu.

I Luv Islam juga yang berjaya membuatkan hati aku supaya meletakkan perjuangan bekerja demi Allah lebih utama daripada aku meletakkan perjuangan terhadap dunia dan cinta manusia. Sesungguhnya, syukur yang tak terhingga ku panjatkan pada-Nya kerana memberi aku peluang berada di situ.

Tetapi, ketika ini, semuanya hanya sebuah semangat dan perjuangan yang terhenti secara tiba-tiba. Bagaikan tidak percaya, I Luv Islam kini hanya sebuah kenangan untukku. Mungkin jua inilah ujian dari Allah. Untuk melihat sama ada benar aku meninggalkan mak dan abah demi I Luv Islam semata-mata. 

Aku fahami, tiada yang kekal untuk kita. Mungkin hari ini kita dengan gembira mengatakan bahawa ianya milik kita, kita gembira, bahagia dengannya. Tetapi, tidak langsung mustahil, jika Allah ingin menariknya semula. Sekelip mata. Tanpa apa-apa bayangan. Maka, aku sedari, apa yang digenggam mampu terlepas bila-bila masa saja.

Cuma aku sedikit ralat, aku telah membina pelbagai matlamat demi I Luv Islam. Aku kagum dengan usaha yang dilakukan oleh editor untuk membuktikan kepada pihak pengurusan bahawa majalah dakwah dan Islam ini akan bukanlah satu usaha yang sia-sia. Apa saja ingin aku lakukan untuk membantu beliau mencapai matlamat ini. Apakan daya, setakat ini perjuangan kami.

Apa yang bermain di hati dan fikiranku saat ini, andai inilah ujian Allah terhadap aku, terhadap kata-kataku kepada mak dan abah, apakah aku perlu pergi...menamatkan kerjaya aku di sini, Kumpulan Media Karangkraf...Semoga Allah tunjukkan aku jalan...

Buat rakan-rakan seperjuangan, walau dimana kita dilemparkan, jangan lupa apa yang kita perjuangkan semasa di dalam I Luv Islam. Terus menjaga iman, jaga hati. Semoga kita terus mencari alternatif lain demi 'membasuh' selalu hati kita daripada kekotoran dunia. Our team is always the best team ever! :-)

Raya yang menyaksikan bermulanya perjuangan...
-Alangkah bermaknanya jika manusia melihat dakwah itu sebagai satu pengorbanan, bukan keuntungan...

Raya yang menyaksikan berakhirnya perjuangan...



No comments:

Post a Comment