Tuesday, October 11, 2011

Hati Aku Yang Percaya...

Wah, baru beberapa hari bertunang, kami sudah diasak dengan tekanan. Rakan-rakan yang kecewa dan merasa hampa kerana tiada pengumuman dari kami sebelum bertunang. Mungkin mereka rasa diketepikan. Sampai hati tak beritahu terlebih dahulu. Kami terima kata-kata itu. Tetapi, kami sendiri sebenarnya tak sangka cepatnya ia berlaku, sehingga kami tak sempat memberitahu semua.

Tak tamat di situ. Aku dan dia menukar status kami di FB dengan niat itulah pengumuman. Agar yang melihat tahu. Tetapi, disalah erti pula. Apakan daya, setiap orang tafsirannya berbeza. Biar sajalah. Ada pula yang ingin melihat gambar pertunangan kami, lalu aku upload. Supaya tiada yang fikir kami ingin berahsia lagi.
 
Ada yang berkata pula, betapa ringkasnya majlisku, barang-barang hantaranku. Balasku, hanya itu yang termampu. Siapa tidak mahu majlis besar walau hanya bertunang? Tetapi, itu rezeki aku. Berhakkah aku mempersoalkannya? Tidak mengapa. Setiap orang ada pendapat masing-masing. 

Aku tahu cabaran paling besar buat aku, apabila ada yang tidak percaya aku menerima dia dengan rela. Ya, aku tidak nafikan kegagalan dalam perhubungan yang lalu adalah tamparan paling hebat pernah aku rasa. Bukan mudah melupakan, apatah lagi membina hubungan baru. Tetapi, siapa mampu menghalang jika Allah sendiri inginkan sesuatu itu berlaku? Sila jawab.

Paling aku tak ingin, jika dia mulai meragui aku. Jika pelbagai persoalan mula bermain di jiwa dan mindanya. Benarkah dia ikhlas menerima aku? Sudahkah dia lupakan kekasih lama? Adakah dia akan berubah hati jika kekasih lamanya kembali? Mampukah dia mencintai aku sepenuh hatinya? (Abang, ada terfikir tak macam ni?).

Kepada tunangku, ikhlas aku jelaskan. Aku menerimamu bukan atas dasar ‘kecewa untuk terus mencari’, ‘tamat sajalah zaman bujang, sudah malas nak fikir’, ‘kahwin sajalah dengan sesiapa saja’. Memang, aku tidak nafikan, mak selalu bertanya tentang jodoh, tentang kahwin. Tetapi, jika hati aku tidak benar-benar terbuka untuk itu, dan Allah tidak izinkan, tetap ia takkan berlaku.

Aku tahu setiap butir kata-kata tetap tak mampu meyakinkan sesiapa. Aku cuma mahu tunangku yang percaya, bahawa hati aku sangat percaya, dari saat aku menjadi tunanganmu, Allah mengizinkan hati ini hanya untukmu, Mohd Azlan Ismail...

Topik akan datang....’Persediaan Kahwin, Ingat Senang?’

Engage To...

Gementar. Kelam-kabut. Itu yang aku dan mak rasakan. Masakan tidak, persiapan pertunangan hanya kami berdua yang uruskan. Bukan tidak mahu memberitahu saudara-mara, jiran-jiran. Bukan tidak mahu meminta tolong orang. Tetapi, pengalaman pahit lalu membuatkan kami lebih senang melakukannya sendiri. Biarlah apa orang nak kata. 

Ringkas. Itu yang pasti berlaku pada hari pertunanganku. Menyambut rombongan empat buah kereta dengan majlis yang serba ringkas. Sebelum rombongan datang, hatiku tak henti-henti berdoa agar keluarganya dapat menerima aku dan keluarga seadanya. Tiada yang aku impikan melainkan semuanya berjalan dengan sebaiknya.

Ketika kedua-dua belah keluarga berbincang, aku terus berdoa. Adatlah, pasti ada sesuatu yang tidak dipersetujui. Bila itu berlaku, kacau-bilaulah hatiku. Alhamdulillah, cincin yang dibawa disarungkan ke jari manisku oleh ibunya. Saat itu, hanya perkataan syukur yang mampu aku ucapkan. (hati meronta-ronta gembira tahap gaban).

Paling menarik, aku menemani mak dan ayahnya bersiar-siar di Georgetown. Sekurang-kurangnya aku punya sedikit ruang dan peluang untuk bermesra dengan keluarganya. Terima kasih abang, adik, Salwa yang sudi menemani aku menemani keluarganya. 

Terima kasih tak terhingga pada mak. Banyak bersusah payah demi aku. Abah, yang menerima pilihanku dengan dada yang terbuka. Menyambut dan melayani tetamu dengan gembira. Keluarga dia, yang menerima aku dan keluargaku seadanya. Berpenat lelah datang dari jauh dan menjamah masakan kami yang tidak seberapa. 

Tunangku, Azlan..terima kasih di atas segalanya..Maafkan Jue kerana hanya itu yang mampu kami sediakan untuk menyambut rombongan abg...

Di sini Bermula...

Apabila hatiku dengan sendirinya merelakan, bermulalah sebuah perjalanan. Kadang-kala aku tidak percaya. Benarkah aku menerima dia dengan sukarela? Atau masih seperti dulu..memaksa hati untuk mencuba, mencuba dan mencuba. Ketika aku mulai menyukai dia, aku tidak merasa itu adalah sebuah cinta. Cinta pandang pertama, kedua atau magika. Bukan.

Ada satu perasaan yang aku selesa bersama dia. Tiada kesedihan, tiada keraguan. Setiap masa, dia cuma membuat aku gembira. Ketawa. Semakin aku mengenali dia, semua sifatnya terserlah. Baik atau buruk. Mungkin bukan semua. Tetapi, cukup untuk aku mentafsir tentang siapa dirinya. Bukan semua sikapnya aku suka. Tetapi, aku rasa tenang menerima dia seadanya. Mengapa?

Untuk mengatakan dia jodohku ketika itu, belum. Namun, ada satu bisikan di dalam hati yang berkata, “Jika satu hari dia benar-benar ingin meminangku, menjadikan aku isterinya, aku akan berusaha untuk menerima dan mencapainya.” 

Dan, itulah yang berlaku. Dia ingin menjadikan aku sebagai isterinya. Tetapi, dia takut, mungkin keluarganya tidak merestui. Faktor kewangan pasti menjadi masalah utama. Lalu, kami berbincang. Bagi pihak keluarga aku, mungkin tiada masalah. Kerana aku perempuan. Hanya sebagai tanggungan.

Kami akhirnya terfikir untuk menyiapkan sebuah ‘wedding proposal’. Kertas kerja yang lengkap dengan semua maklumat tentang perancangan perkahwinan kami. Kami berharap, apabila berjumpa ibu dan ayahnya nanti, semua persoalan yang akan ditanyakan, jawapannya ada di dalam proposal itu.

Proposal masih dalam proses, dia terlebih dahulu mencuba nasib. Dia bertanya kepada ayahnya, hasrat untuk menghantar rombongan meminangku. Tak sangka, mungkin berkat kami berdoa pada sepuluh malam terakhir Ramadan, ayahnya memberi signal ‘green light’. Lalu aku menerima khabar gembira bahawa rombongan pihaknya akan datang pada hari kelima Aidilfitri.

Aku pula mulalah dengan kelam-kabut mencari barang-barang untuk dibuat hantaran. Otak berfikir sendiri. Tubuh bertindak seorang. Mak,adik dan sahabat baik, Salwa menjadi pembantu yang tiada rasa jemu.


Sejarah Hanya Sejarah

Putus cinta. Sakitnya hati setelah berpisah dengan orang yang pernah dicintai tak mampu dijelaskan. Tiada penjelasan yang benar-benar menggambarkan. Walau ayat bombastik pun tak boleh. Percayalah. Anda pernah putus cinta juga kan...Ops, tapi melainkan anda adalah seorang playboy atau playgirl. Mungkin sekejap saja lukanya terasa. Well, biasala kan.

Patah tumbuh hilang berganti. Bukan senang. Seperti lirik lagu ni, “dimana...kan ku cari ganti...serupa denganmu...” Berbezanya antara kita adalah terus menutup pintu hati atau cuba membukanya lagi. Ada yang sudah serik. Hampa, kecewa, merana dan sengsara. Biarlah sendiri. Single but not available. Tak mungkin ada lagi cinta bertakhta di hati. Memang parah, tambahan orang yang dikhianati dan ditinggalkan.

Ada juga yang tak berputus asa. Tidak ingin dilihat lemah. Tidak mahu menyerah kalah pada pencarian cinta sejati. Masih cuba dan bersungguh-sungguh melupakan kekasih lama. Beri peluang kepada orang lain yang mengintai ruang hati. Tetapi, mestilah mengambil masa juga. Kadang-kala bayangan si dia masih bermain di mata. Kekasih baru dilihat seperti kekasih lama. Ini bahaya! 

Cerita aku pula tak tahu nak masuk kategori yang mana. Selepas gagal mempertahankan cinta yang aku sanjung selama sembilan tahun, aku memang benar-benar putus asa. Sehingga aku pernah merasa, jika tiada lelaki dalam hidup pun tidak mengapa. Ah, kalau ada teman hidup pun tetapi jiwa dan fikiran serabut buat apa! Tetapi kehidupan sukar dijangka...

Rupa-rupanya aku silap mentafsir lelaki. Bukan mudah membenci mereka. Malah, ada yang baik dan tingkah laku mereka cukup dengan penghormatan kepada wanita. Tetapi, untuk membuka hati sebagai teman istimewa memang tak mampu aku lakukan. Malah, aku telah mencuba sehinga tak sedar aku memberi harapan, tapi masih dengan amaran, dan akhirnya tetap mengecewakan. 

Tunangku hadir bagaikan angin (angin sepo-sepoi bahasa je). Berjumpa ketika sedang menjalankan tugas di utara semenanjung. Ketika itu tiada apa yang terlintas di hati. Sehinggalah kami mula menjadi kawan. Kesungguhannya dalam apa jua yang dia lakukan membuat hatiku dalam tak sedar telah tertawan. Namun, tiada apa yang aku harapkan selain menjadi teman. Teman yang kelakar dan sempoi! Kerana ketika itu aku tetap gagal mencuba dengan yang lain.

Aku sendiri tak pasti mengapa mudah benar hati ini memberi peluang kepadanya saat dia meluahkan rasa suka. Dan ketika dia inginkan satu perhubungan yang serius antara kami, aku merasa tenang untuk merelakan. Ketika satu persatu perancangan untuk membina mahligai rumah tangga bersamaku dibebelkan, aku rasa cukup tenang untuk mendengarnya.

Mungkin ini yang dinamakan apabila dia itu jodohku...hanya ketenangan yang dirasa apabila memandangnya, mendengar tuturkatanya, dan menerimanya dengan rela...