Tuesday, October 11, 2011

Hati Aku Yang Percaya...

Wah, baru beberapa hari bertunang, kami sudah diasak dengan tekanan. Rakan-rakan yang kecewa dan merasa hampa kerana tiada pengumuman dari kami sebelum bertunang. Mungkin mereka rasa diketepikan. Sampai hati tak beritahu terlebih dahulu. Kami terima kata-kata itu. Tetapi, kami sendiri sebenarnya tak sangka cepatnya ia berlaku, sehingga kami tak sempat memberitahu semua.

Tak tamat di situ. Aku dan dia menukar status kami di FB dengan niat itulah pengumuman. Agar yang melihat tahu. Tetapi, disalah erti pula. Apakan daya, setiap orang tafsirannya berbeza. Biar sajalah. Ada pula yang ingin melihat gambar pertunangan kami, lalu aku upload. Supaya tiada yang fikir kami ingin berahsia lagi.
 
Ada yang berkata pula, betapa ringkasnya majlisku, barang-barang hantaranku. Balasku, hanya itu yang termampu. Siapa tidak mahu majlis besar walau hanya bertunang? Tetapi, itu rezeki aku. Berhakkah aku mempersoalkannya? Tidak mengapa. Setiap orang ada pendapat masing-masing. 

Aku tahu cabaran paling besar buat aku, apabila ada yang tidak percaya aku menerima dia dengan rela. Ya, aku tidak nafikan kegagalan dalam perhubungan yang lalu adalah tamparan paling hebat pernah aku rasa. Bukan mudah melupakan, apatah lagi membina hubungan baru. Tetapi, siapa mampu menghalang jika Allah sendiri inginkan sesuatu itu berlaku? Sila jawab.

Paling aku tak ingin, jika dia mulai meragui aku. Jika pelbagai persoalan mula bermain di jiwa dan mindanya. Benarkah dia ikhlas menerima aku? Sudahkah dia lupakan kekasih lama? Adakah dia akan berubah hati jika kekasih lamanya kembali? Mampukah dia mencintai aku sepenuh hatinya? (Abang, ada terfikir tak macam ni?).

Kepada tunangku, ikhlas aku jelaskan. Aku menerimamu bukan atas dasar ‘kecewa untuk terus mencari’, ‘tamat sajalah zaman bujang, sudah malas nak fikir’, ‘kahwin sajalah dengan sesiapa saja’. Memang, aku tidak nafikan, mak selalu bertanya tentang jodoh, tentang kahwin. Tetapi, jika hati aku tidak benar-benar terbuka untuk itu, dan Allah tidak izinkan, tetap ia takkan berlaku.

Aku tahu setiap butir kata-kata tetap tak mampu meyakinkan sesiapa. Aku cuma mahu tunangku yang percaya, bahawa hati aku sangat percaya, dari saat aku menjadi tunanganmu, Allah mengizinkan hati ini hanya untukmu, Mohd Azlan Ismail...

Topik akan datang....’Persediaan Kahwin, Ingat Senang?’

No comments:

Post a Comment