Tuesday, October 11, 2011

Sejarah Hanya Sejarah

Putus cinta. Sakitnya hati setelah berpisah dengan orang yang pernah dicintai tak mampu dijelaskan. Tiada penjelasan yang benar-benar menggambarkan. Walau ayat bombastik pun tak boleh. Percayalah. Anda pernah putus cinta juga kan...Ops, tapi melainkan anda adalah seorang playboy atau playgirl. Mungkin sekejap saja lukanya terasa. Well, biasala kan.

Patah tumbuh hilang berganti. Bukan senang. Seperti lirik lagu ni, “dimana...kan ku cari ganti...serupa denganmu...” Berbezanya antara kita adalah terus menutup pintu hati atau cuba membukanya lagi. Ada yang sudah serik. Hampa, kecewa, merana dan sengsara. Biarlah sendiri. Single but not available. Tak mungkin ada lagi cinta bertakhta di hati. Memang parah, tambahan orang yang dikhianati dan ditinggalkan.

Ada juga yang tak berputus asa. Tidak ingin dilihat lemah. Tidak mahu menyerah kalah pada pencarian cinta sejati. Masih cuba dan bersungguh-sungguh melupakan kekasih lama. Beri peluang kepada orang lain yang mengintai ruang hati. Tetapi, mestilah mengambil masa juga. Kadang-kala bayangan si dia masih bermain di mata. Kekasih baru dilihat seperti kekasih lama. Ini bahaya! 

Cerita aku pula tak tahu nak masuk kategori yang mana. Selepas gagal mempertahankan cinta yang aku sanjung selama sembilan tahun, aku memang benar-benar putus asa. Sehingga aku pernah merasa, jika tiada lelaki dalam hidup pun tidak mengapa. Ah, kalau ada teman hidup pun tetapi jiwa dan fikiran serabut buat apa! Tetapi kehidupan sukar dijangka...

Rupa-rupanya aku silap mentafsir lelaki. Bukan mudah membenci mereka. Malah, ada yang baik dan tingkah laku mereka cukup dengan penghormatan kepada wanita. Tetapi, untuk membuka hati sebagai teman istimewa memang tak mampu aku lakukan. Malah, aku telah mencuba sehinga tak sedar aku memberi harapan, tapi masih dengan amaran, dan akhirnya tetap mengecewakan. 

Tunangku hadir bagaikan angin (angin sepo-sepoi bahasa je). Berjumpa ketika sedang menjalankan tugas di utara semenanjung. Ketika itu tiada apa yang terlintas di hati. Sehinggalah kami mula menjadi kawan. Kesungguhannya dalam apa jua yang dia lakukan membuat hatiku dalam tak sedar telah tertawan. Namun, tiada apa yang aku harapkan selain menjadi teman. Teman yang kelakar dan sempoi! Kerana ketika itu aku tetap gagal mencuba dengan yang lain.

Aku sendiri tak pasti mengapa mudah benar hati ini memberi peluang kepadanya saat dia meluahkan rasa suka. Dan ketika dia inginkan satu perhubungan yang serius antara kami, aku merasa tenang untuk merelakan. Ketika satu persatu perancangan untuk membina mahligai rumah tangga bersamaku dibebelkan, aku rasa cukup tenang untuk mendengarnya.

Mungkin ini yang dinamakan apabila dia itu jodohku...hanya ketenangan yang dirasa apabila memandangnya, mendengar tuturkatanya, dan menerimanya dengan rela...

No comments:

Post a Comment