Monday, July 4, 2011

Aku, Lagu & al-Quran

Seronoknya karok kan? Atau dalam bahasa penuhnya, karaoke. Terasa puas dapat mengeluarkan suara menyanyikan irama-irama syahdu cinta. Rock, balada, pop pun memang terbaekk punya. Tambah pula suara merdu, memang cun lahh! Tapi, sedar tak, hati cuma bertambah gelisah dan lalai dengan kenikmatan melagukan muzik-muzik keduniaan.

Dengar lagu cinta yang serba indah membawa kita terbang mengkhayalkan sang kekasih. Terasa ingin bersama, menyulam cinta, berpadu rindu dan menyatu rasa. Dengar lagu putus cinta mencarik-carik hati menyesali kisah sedih. Terasa ingin membawa diri, membakar gambar bekas kekasih, mencaci pengkhianatan dan perpisahan yang terjadi. Dengar lagu dangdut menggerakkan tubuh terasa melonjak-lonjak ingin berjoget, bergembira, enjoy tanpa sebarang duka. Dan begitulah sebaliknya. Maaf andai ayat perumpamaan tersebut tidak sesuai.

Aku tidak mengatakan salah meminati muzik dunia, kerna aku juga sama. Cuma ingin menyedarkan bahawa tidak perlu terlalu fanatik. Cukuplah sekadar hiburan sampingan-sampingan sahaja. Hiburan berunsurkan keduniaan cuma mengundang penyakit jiwa kacau, paling tidak, jiwa sempoi. Sempoi yang membawa perasaan kita jauh..dan terus jauh..dari Allah. Dengarlah nasyid, Qasidah..memang korang rasa poyo dan konon baik, tetapi, jika benar-benar dihayati, hiburan sebegitu yang lebih mengasyikan tanpa melalaikan kita dari-Nya.

Lagukan al-Quran. Kitab suci ini yang seharusnya menjadi rakan karib utama kita, hiburan sensasi sentiasa di hati. Sekarang, kita lebih suka akrab dengan telefon bimbit, iPad, laptop, pakwe, awek atau bantal busuk (eh, ada kaitan ke?). Kalau tak ada, rasa semacam je kan? Tak. Okey. Sejak aku khatam al-Quran ketika darjah tiga, aku semakin menjauh darinya. Aku sudah jarang-jarang melagukan isi-isi kandungan di dalamnya. Aku tidak sempat lagi membaca kisah-kisah dan panduan lengkap yang disediakan olehnya.

Selalu aku hanya memandangnya yang terletak tinggi di atas almari sambil berkata di dalam hati, “maaflah, dah lama tak baca kau. Nanti aku baca yer. Ampunkan aku Ya Tuhan kerana sudah lama tidak membaca kalam-Mu ...” Inilah manusia yang mudah lalai dan lupa. Menyanyi lagu Meet Uncle Hussien dua tiga kali tak pernah penat. Melalak lagu Sixth Sense berulang-ulang kali tak kering air liur. Tetapi, bila nak baca al-Quran, rasa malas, baca setengah muka surat pun dah rasa mengantuk, tekak kering. Dasyatnya wahai aku.

Betapa Allah Maha Pengampun. Ketika aku mulai sedar akan kekhilafanku, aku diberi jalan untuk kembali mencintai kalam-Nya yang indah dan penuh azimat itu. Di kampus, aku ditempatkan bersama rakan-rakan sebilik yang menjadikan al-Quran sebagai rakan karib mereka, malah santapan harian yang menyelerakan.

Aku masih ingat, aku langsung tidak terfikir membawa al-Quran ketika masuk ke UIA. Tatkala malam tiba, aku lihat teman-teman sebilik mengeluarkan al-Quran selepas solat Maghrib lalu melagukannya penuh kemerduan dan menyentuh perasaan. Hanya aku yang bergegas melipat telekung dan sejadah. Aku lihat mereka leka dan tenggelam dalam keasyikan mengaji. Menitis air mataku. Terbayang akan al-Quran yang berdiri molek di atas almari di ruang bilik yang telah lama tidak ku sentuh. Sesungguhnya aku terlalu rindu....

Hatiku melonjak-lonjak untuk mendapatkan al-Quran. Aku juga ingin membacanya. Satu malam, teman sebilikku bagai mengerti kehausan hatiku yang meronta-ronta ini, “Ida nak baca al-Quran? Ambillah Dayah punya ni..” aku terus mencapai dan membacanya sehingga puas hatiku. Mataku berlinangan dengan air mata lagi. Terima kasih Ya Allah kerana gerakkan hati sahabatku mengerti akan rasa rindu ini.

Alhamdulilah, setelah itu setiap malam aku menjadikan al-Quran sebagai makanan rohani. Indah...penuh ketenangan..jiwaku terasa cukup...sehinggakan jika satu malam aku tidak membacanya, hatiku menjadi gelisah, resah dan bersalah. Namun, manusia, iman tak selalu tetap di dada. Kadang-kala, apabila aku kepenatan, ada juga aku skip membaca al-Quran, tetapi kagumnya aku pada teman sebilikku membakar kepenatan. Dia tidak pernah meninggalkan bacaannya walau sepenat manapun hari yang dilalui. Itu membuatkan aku malu dengan diri sendiri.

Dan seringkali aku membuka lembaran al-Quran, pasti aku teringatkan dia. Aku bersyukur kerana Allah mengurniakan aku sahabat seperti dia. Malah, Allah mempermudahkan terus jalanku dengan memberi aku teman-teman sebilik yang seterusnya juga pencinta al-Quran al Kareem..

Terima kasih teman-teman yang hadir dalam hidupku yang mendorong semangatku terus menyanjungi al-Quran dan sentiasa merindui kalam-kalam penuh azimat itu...mengajar aku mengenal nasyid dan melagukan bait-bait yang memuji Allah dan para Rasul. Cik Khoshiatun, aku kenal UNIC, Mestica, In-Team dari kaset-kaset yang kau gemar pasang kat bilik kita dulu tau! Hehe...

Khoshiatun Fadzilah, Hidayah, ‘Iffah Bazilah, Isma Iliya, Kak Na, Zidni Nuran...semoga kita terus mencintai kitab suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu selama-lamanya..dan rakan-rakan yang lain..percayalah, tiada buku yang terlalu enak dibaca dan mampu memberi ketenangan melainkan buku AL-QURAN.

Jangan tunggu Ramadan, setiap hari tataplah ia, bacalah ia, dan amalkan apa yang terkandung di dalamnya. Perlahan-lahan..lakukan dengan keikhlasan..pasti kita temui sejuta ketenangan dan kedamaian yang tiada ternilai. Julida...jangan tinggalkan rakan karib itu lagi tau!Dan..jangan hanya tau membebel kosong kat sini jer....

Seperti yang ku katakan, hanya berkongsi, betuli diri jua, dan ingin kita sama-sama menyedari keindahan Islam. I Luv Islam! err..bukan promote Tabloid sendiri ok...;-)

Sabda Rasulullah SAW: “Siapa kerap membacakan 10 ayat Quran tidaklah dituliskan daripada golongan yang lalai, Siapa membacakan 100 ayat Quran adalah dituliskan daripada golongan Setiawan dan siapa membacakan 1000 ayat Quran nescaya dituliskan daripada golongan Jutawan”. (H.D Abi Daud M. Abdullah bin Amru bin Al-Ash)

1 comment: