Monday, July 4, 2011

Aku & Ketakutan Malam

Bila malam tiba, hati aku mulalah gundah-gulana. Pusing kiri, pusing kanan. Golek-golek atas katil. Mata tak mahu juga lelap. Aku tengok rakan sebilik, macam dah tak bergerak. Mesti dah lena diulit awan mimpi. Habislah...cepatlah terlelap wahai mata...

Tiba-tiba kedengaran pintu bilik diketuk. Agak kuat. Kemudian senyap. Tiada bunyi tapak kasut atau tanda-tanda ada manusia di luar. Jantung aku mula berdegup kencang. Lebih kencang dari degupan saat berdepan dengan guru displin sekolah dulu. Peluh mulai membasahi dahi. Aku jeling rakan yang tidur di katil sebelah, tak menguit sedikit pun. Huhu..mak..tolong..hanya ayat-ayat al-Quran lah yang berlagu-lagu di hati aku.

Itulah yang aku lalui setiap kali malam tiba. Saat aku masih belum dapat menyesuaikan diri. Aku pernah mendengar orang menolak troli pesakit seperti di hospital. Lalu di hadapan bilik dan terus hilang. Ke mana perginya? Ada lagi. Bunyi kasut tumit tinggi berulang-alik di hadapan pintu bilikku. Pernah sekali aku cuba mengintai dari lubang di bawah pintu untuk mengenal pasti apakah sebenarnya bunyi itu, tetapi tiada apa yang kelihatan. Bahkan bayang pun tiada. Seram kan? Tak? Okey.

Aku cuba memotivasikan diri aku supaya tak menjadi penakut lagi. Supaya malam aku boleh tidur lena. Aku cuba berkata kepada diri, “biarlah ‘diorang’ nak buat apa pun, janji tak cekik aku sudah..tak pernah lagi orang mati kat sini kerana si momok.”

Bila hati dah semakin kuat, ada pulak la lagi cerita-cerita misteri ini membisik-bisik di telinga aku. Kata mereka, ada yang kena kacau masa tengah membasuh baju di bilik air. Jadi, selepas itu aku dan rakan sebilik mesti basuh baju berjemaah. Tapi, sempat lagi buat lawak.

“Kosh, betul kan kosh ni?” tanya aku pada rakan sebilik yang sedang membasuh baju di sebelah sambil melihat kakinya sama ada pijak tanah atau tak.

“Haa..buatla main-main..ni orang laa...” bidas Kosh. Hehe..ingat lagi tak Cik Khoshiahtun?

Masih aku ingat tatkala aku dan Kosh sedang sibuk bercerita tentang kejadian seram di KC, masa itu kami dah nak tidur, kami segera menutup langsir tingkap serapat-rapatnya sehingga tidak mahu ada sedikit pun bayangan tingkap kelihatan. Sampai begitu sekali.

Tiba-tiba ada satu mesej masuk ke telefon bimbitku. Terus aku buka tanpa melihat siapa pengirimnya. Kandungan mesej tersebut, “Dik, nak minta tolong boleh? Tolong longgarkan ikatan kain kapan akak sekejap, ketat sangatlah. Tolong ye..akak ada dekat tepi tingkap ni..” Wah, melompat aku dari katil. Terus pandang tingkap. Nasib baik dah tutup langsir. Tengok sapa pengirim, abang aku rupanya. Hampeh! Aku masih ingat weh...


No comments:

Post a Comment