Tuesday, October 11, 2011

Di sini Bermula...

Apabila hatiku dengan sendirinya merelakan, bermulalah sebuah perjalanan. Kadang-kala aku tidak percaya. Benarkah aku menerima dia dengan sukarela? Atau masih seperti dulu..memaksa hati untuk mencuba, mencuba dan mencuba. Ketika aku mulai menyukai dia, aku tidak merasa itu adalah sebuah cinta. Cinta pandang pertama, kedua atau magika. Bukan.

Ada satu perasaan yang aku selesa bersama dia. Tiada kesedihan, tiada keraguan. Setiap masa, dia cuma membuat aku gembira. Ketawa. Semakin aku mengenali dia, semua sifatnya terserlah. Baik atau buruk. Mungkin bukan semua. Tetapi, cukup untuk aku mentafsir tentang siapa dirinya. Bukan semua sikapnya aku suka. Tetapi, aku rasa tenang menerima dia seadanya. Mengapa?

Untuk mengatakan dia jodohku ketika itu, belum. Namun, ada satu bisikan di dalam hati yang berkata, “Jika satu hari dia benar-benar ingin meminangku, menjadikan aku isterinya, aku akan berusaha untuk menerima dan mencapainya.” 

Dan, itulah yang berlaku. Dia ingin menjadikan aku sebagai isterinya. Tetapi, dia takut, mungkin keluarganya tidak merestui. Faktor kewangan pasti menjadi masalah utama. Lalu, kami berbincang. Bagi pihak keluarga aku, mungkin tiada masalah. Kerana aku perempuan. Hanya sebagai tanggungan.

Kami akhirnya terfikir untuk menyiapkan sebuah ‘wedding proposal’. Kertas kerja yang lengkap dengan semua maklumat tentang perancangan perkahwinan kami. Kami berharap, apabila berjumpa ibu dan ayahnya nanti, semua persoalan yang akan ditanyakan, jawapannya ada di dalam proposal itu.

Proposal masih dalam proses, dia terlebih dahulu mencuba nasib. Dia bertanya kepada ayahnya, hasrat untuk menghantar rombongan meminangku. Tak sangka, mungkin berkat kami berdoa pada sepuluh malam terakhir Ramadan, ayahnya memberi signal ‘green light’. Lalu aku menerima khabar gembira bahawa rombongan pihaknya akan datang pada hari kelima Aidilfitri.

Aku pula mulalah dengan kelam-kabut mencari barang-barang untuk dibuat hantaran. Otak berfikir sendiri. Tubuh bertindak seorang. Mak,adik dan sahabat baik, Salwa menjadi pembantu yang tiada rasa jemu.


No comments:

Post a Comment