Tuesday, August 9, 2011

Aku & Terima Kasih!

“Makaseh!!”

Tidak kiralah ucapan terima kasih itu berbunyi kasar. Sebutannya tidak betul. Bergaya Alleycat. Ikhlas atau sekadar menyebut. Tetapi, ucapan azimat tersebut adalah sebuah penghargaan yang memberi impak besar kepada diri seseorang. Percaya tak? Tak? Okay, terus baca.

Dulu, aku kurang mengerti. Apa perlu sangatkah ucapkan terima kasih? Tambahan pula hanya sekadar pertolongan yang terlalu kecil dan remeh. Malah, berterima kasih kepada orang lain kerana mereka melakukan kerja mereka sendiri, mengapa mesti berterima kasih? Bukan mereka menghulurkan pertolongan pun. Terima kasih hanya ulangan kata-kata yang di set dalam sebuah mesin!

Sehinggalah aku memasuki alam pekerjaan. Alam yang mulai mengajar aku erti ucapan terima kasih. Aku bekerja part time sebagai promoter pakaian. Setelah aku mempromosikan pakaian yang dijual, tiada sesiapa mengucapkan terima kasih walau tidak membeli. Aku rasa bosan. Aku rasa sungguh tak bermakna pekerjaan tersebut. Umpama robot pemberi penerangan dan berulang kali menyebut kata pujukan. “Belilah Cik..cantik ni..harganya pun berpatutan..”.

Suatu hari, seseorang telah menyuntik semangat dalam diriku hanya dengan sebuah ucapan terima kasih dan senyuman yang cukup manis. Aku masih ingat akan wajah wanita itu. Selepas dia berlalu pergi, aku rasa lebih bersemangat untuk terus bermain kata mempromosikan pakaian yang dijual. Aneh. Mengapa tiba-tiba aku jadi begini? Apabila ku renung semula, aku yakin ia berpunca daripada dua hadiah bermakna yang diberikan kepadaku sebentar tadi.

Oh, itu sebenarnya magik yang mampu dilakukan oleh sebutan terima kasih. Sudah percaya? Jika belum, buat eksperimen sendiri. Aku juga sudah selesai membuat ujian ATK ini. Ujian Azimat Terima Kasih. Kepada pelbagai peringkat usia. Salah satunya, seorang kawanku membantu mengangkat pakaian yang dijemur tatkala hari mendung semasa ketiadaan aku, aku ucapkan terima kasih. Hari akan datang, dia terus membantu. Seorang kawan membantu aku mengangkat barang yang berat, aku buat dek saja. Hari seterusnya, dia pula buat dek. Begitu rupanya.

Ada satu lagi keadaan yang masih ramai kurang faham akan beertinya ucapan terima kasih. Mengucapkannya kepada seseorang yang melakukan pekerjaan mereka sendiri. Ucapkan terima kasih kepada Jurutol, Makcik Cleaner, Pakcik Pengangkut Sampah, dan pelbagai lagi manusia yang bekerja dengan memberi perkhidmatan kepada manusia lain. Susah benarkah ucapkan terima kasih kepada mereka? Ada yang kata, “Ala, diorang buat kerja tu dapat gaji apa..kalau tak ucap terima kasih pun diorang tak heran..”

Siapa yang tahu hati manusia? Kita boleh scan dan melihat apa perasaannya? Tdakkah kita terfikir, tanpa orang-orang yang sudi melakukan pekerjaan seperti itu, bagaimana fungsi kehidupan terus berjalan dengan sebaiknya? Atau sudikah kita sahaja bekerja sebegitu? Jika tidak, mereka sanggup! Walau atas dasar mencari rezeki punya pasal, apakah terlalu berat dan ego untuk memberi sebaris kata penghargaan buat mereka? Cuba bayangkan anda di tempat mereka.

Aku sudah merasainya. Menjadi seorang pelayan di restoran makanan segera. Penat! Tapi, diri sentiasa digagahkan demi mencari wang dan mengutip pengalaman. Apabila aku hidangkan makanan kepada customer, mereka ucapkan terima kasih walau dengan nada yang kasar, aku rasa gembira sangat! Malah, selepas itu, jika mereka demand macam-macam, aku layan saja kerana ungkapan terima kasih itu bagiku adalah sebuah bayaran yang cukup bernilai untuk aku terus melayani mereka dengan baik.

Terima kasih itu mampu memberi sebuah rasa bahagia. Terima kasih juga dapat menaikkan semangat seseorang untuk terus menghulurkan pertolongan. Terima kasih membuatkan seseorang enjoy dengan kerjanya. Terima kasih juga sebuah kata yang bisa mengeratkan lagi perhubungan dan menambahkan kemesraan. Belajarlah mengucapkan terima kasih.

Terima kasih anda semua!

-Aku tiada harta untuk berkongsi, hanya punya secebis ilmu dan pengalaman untuk dibebelkan buat penghayatan bersama. Aku juga tak punya keistimewaan untuk membuatkan sesiapa gembira, hanya ada sebaris kata untuk diberi, seukir senyuman untuk disedekahi. Terima kasih kerana membaca. Lihat gambarku di FB untuk hadiah sebuah senyuman. =p



No comments:

Post a Comment