Wednesday, August 10, 2011

Aku & Ujian Ramadan


Benarlah jika Allah mengkehendaki sesuatu berlaku, sekelip mata saja semuanya bisa terjadi. Maka, tidak hairanlah jika seseorang yang kita baru lihat sebentar tadi sedang bergelak ketawa, tiba-tiba sejam kemudian kembali ke Rahmatullah.

Hari ini benar-benar menguji aku, menyedarkan aku. Pagi tadi aku rasa cukup kuat untuk ke pejabat, walau batuk yang ku alami sejak minggu lalu semakin teruk. Setelah aku menaiki kereta, tiba-tiba sahaja aku rasa kepalaku sakit yang teramat sangat. Tangan dan kaki yang bersedia untuk memandu PJJ tiba-tiba mengeletar dan menjadi terlalu lemah.

Namun, aku tetap gagahkan diri. Baru sampai di selekoh keluar dari simpang rumah, pandanganku berpinar-pinar. Tiba-tiba aku tertekan brek. Nasib baiklah tiada kereta di belakangku, jika tidak, mungkin aku dah berada di hospital sekarang. Aku terus gagahkan diri meneruskan haluanku ke klinik berdekatan. Sampai di klinik pukul 8.25 pagi, ku lihat papan tanda di klinik tersebut menunjukkan waktu operasinya bermula pukul 9 pagi.

Aku kembali ke kereta. Sakitnya makin menusuk. Malah, ditambah dengan rasa pedih di dadaku. Pandanganku pula sekejap gelap, sekejap jelas. Saat itu, tiada apa yang ku buat melainkan berserah kepada Allah. Aku terlena di dalam kereta. Pukul 9.05 pagi, aku tersedar. Aku terus masuk semula ke klinik. Doktor kata tiada apa-apa. Mungkin infection batuk membuatkan aku lemah sebegini. Doktor beri aku cuti sakit.

Sampai di rumah, aku terus membaringkan diri. Batukku kian menjadi-jadi. Sakit di kepala dan dada juga kian menusuk. Airmata mengalir tak henti-henti merasakan penderitaan ini. Tiba-tiba aku rasa nak muntah. Aku ke bilik air dan muntahku mengandungi sedikit darah. Aku kembali merebahkan diri . Terus berdoa di dalam hati supaya tetap kuat walau seorang diri.

Ketika terlena kembali, aku bermimpi berada di dalam sebuah keranda. Aku terpinga-pinga, dan bertanya kepada diri, “aku sudah matikah?”. Terus aku menangis dan membayangkan betapa sedikitnya amalanku untuk dibawa berjumpa Allah sebentar lagi. Terbayang olehku akan kehadiran malaikat penjaga kubur. Terasa seperti aku belum bersedia untuk mati. Tiba-tiba aku terjaga, alhamdulillah, aku masih diberi peluang untuk terus bernafas!

Ketika ini, alhamdulillah, sakit kian hilang. Cuma batuk yang masih ada. Aku bersyukur kepada Allah kerana bukan waktunya Dia mengambil nyawaku secara tiba-tiba. Andai saat ini aku ditakdirkan ‘pergi’, apa sajalah amalan yang akan kubawa? Cukupkah dengan ibadat ku selama ini? Aku bekerja menulis cerita-cerita yangmendorong manusia ke arah kebaikan, namun, adakah aku sendiri benar-benar memanfaatkannya dalam kehidupanku?

Ujian hari ini cukup bermakna bagiku. Allah mengajarku sebuah pengalaman yang tiada ternilai. Jika Dia mahukan, nikmat sihat, lapang dan gembira yang kita sedang miliki, sekelip mata saja Dia mampu menariknya semula.

Kawan-kawan semua, masa sihat yang kita miliki ketika ini, nafas yang masih mampu kita sedut demi degupan jantung ini, hargailah ia. Buatlah ibadah sebanyak mana yang kita mampu. Usah biarkan rasa ego, lalai dan malas menjadikan masa berlalu dan terbuang begitu saja tanpa meningkatkan amalan untuk kita bawa di Hari Pengadilan kelak.

Aku harap apa yang aku sedari dan hayati ketika ini, akan terus melekat di hati dan fikiranku selama-lamanya. Begitu juga kepada anda semua. Jadikan Ramadan sedang kita lalui ini, penuh dengan pengertian, memberi kita selimpah lautan ganjaran dan pahala. Kerna kita tidak pasti apakah esok, atau lusa, atau Ramadan akan datang, kita masih menikmati kehidupan di pentas dunia ini lagi?

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (surah al-‘Asr : 1-3)

-Terima kasih setinggi gunung kepada kawan-kawan yang ambil berat terutama sekali kepada seseorang yang sudi menghantar makanan dan koyok tampal. Allah pasti membalas kebaikan anda..aku berdoa selalu!

No comments:

Post a Comment