Friday, June 17, 2011

Aku & Putus Cinta

Cerita ini masa zaman baru lepas sekolah. Zaman remaja. Bukan cinta monyet. Cinta monyet itu bagi aku cinta yang atas dasar suka semata-mata. Tidak melibatkan emosi, tiada pengorbanan, tiada kesetiaan, tiada memikirkan masa depan. Hanya kata-kata “I Luv U”, “I Miss U”. Hebat. Selepas ini kita guna istilah cinta blue hyppo. Macam sweet sikit bunyinya. Cinta main-main.

Cinta monyet, cinta ayam atau apa-apa saja jenis cinta haiwan ini tidak wajar aku rasa diperkenalkan kepada remaja, budak-budak sekolah. Tetapi, apakan daya. Zaman sekolah adalah waktu yang paling mudah jatuh suka. Minat-meminati. Secret admirer. Ingatlah wahai adik-adik (adikku NSMZ jugak), setelah anda dewasa, anda akan rasa betapa palsunya perasaan cinta ketika remaja. Kata kat diri sendiri ke?

Tapi, ada seorang yang aku benar-benar sudah terpaut ketika di bangku sekolah sehinggalah tak dapat lagi duduk di bangku tersebut. Baiklah, straight to the point. Putus cinta atau perkataan glamer masa remaja, “break”, “awak, saya nak mintak break”. Konon mantap la ayat macam itu ketika itu. Ketika aku melalui fasa benar-benar merasai bagaimana putus cinta, kehilangan insan yang digilai, aku memang macam orang tak ingat dunia.

Percaya atau tak. Jika aku katakan, putus cinta adalah salah satu sebab hati aku semakin dekat dengan Allah? Percaya la kan. Tak percaya pun tak kisah. Masa sebelum merasai fasa tersebut, memang la ingat Allah, solat, berdoa. Tetapi, ada satu aura yang tak sampai, belum dapat dirasai. Belum cukup kuat untuk merasa dekatnya Allah. Agungnya cinta Ilahi. Baiklah, berbalik kepada main point.

Hebat orang putus cinta. Boleh duduk dalam bilik seharian tak keluar pun tak apa. Boleh peluk bantal busuk sambil nangis macam tengok filem hindustan. Boleh tak makan lebih dari 12 jam orang berpuasa. Hampa tayang la ayam golek kegemaran depan mata. Tak layan punya. Jam berputar bagaikan langsung tak terasa. Sedar-sedar hari dah gelap. Tutup mata buka mata, nampak si dia sahaja. Oh hebat penangan putus cinta. Anda pun pernah merasa kan? Jangan nak geleng, sila angguk.

Bila mak panggil memasak, rasa malas saja. Goreng ikan kalau terpercik, buat tak tahu saja. Tiba-tiba rasa macam ada kuasa kebal. Tapi, kalau time hebatnya bercinta, terpercik minyak sikit, mulalah nak mengadu kat dia. Ntah apa-apa. Semuanya sayang belaka. Ingat dia sampai tak ingat dunia.

Nak dijadikan cerita, aku berjalan sorang-sorang ke Popular. Bila aku rasa hati perlu mencari ubat, masa lapang perlu diisi daripada melayan perasaan, aku suka mencari buku. Tatkala meninjau-ninjau buku-buku agama, aku terpandang sebuah buku dengan tajuknya, “Penenang Jiwa” daripada Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan.

Aku belek-belek dan selak-selak buku itu. Wah, indah dan bermakna sungguh kata-kata di dalamnya. Terus menusuk ke dalam jiwa. Walau ketika itu duit aku cukup-cukup saja dan ingat nak guna untuk makan kfc, aku beli juga. Tanpa berlengah, aku ke satu tempat di bahagian belakang shopping complex dan terus duduk bersila sambil membaca dengan khusyuknya.

Airmata mula bergenang bila membaca tentang mencintai manusia lebih daripada Allah. Sedangkan Allah yang sentiasa ada di sisi aku. Allah yang tak putus-putus memberi rezeki pada aku. Allah yang sentiasa memastikan keperluan aku sentiasa cukup walau aku bukan daripada keluarga yang berada. Mak dan ayah yang sentiasa memberi kasih sayang, mengapa seorang lelaki juga yang ditangisi dan ditatang? Saat itu, tiba-tiba hati aku merasa begitu merindui Allah..

Dan setelah semua isi kandungan buku itu aku hayati dan selami, sujudku pada Allah mula kurasakan penuh beerti. Aura merasai adanya Allah disisi terlalu kuat menyelebungi hati. Dan sesungguhnya aku bersyukur bila aku telah dipilih Allah untuk menjadi salah seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia..dapatkah aku benar-benar memperbaiki diri ketika di sana nanti? Soalan itu tak henti-henti bermain di dalam kotak fikiran.


Bersambung okey...

*Kepada orang yang sedang menyimpan buku "Penenang Jiwa" itu, silalah baca. Semoga sedikit sebanyak mendatangkan kebaikan.

No comments:

Post a Comment