Thursday, June 9, 2011

Hati Yang Kau Sakiti

“Aduh, sakitnya hati dengan perangai dia ni!”

Bukan senang memuaskan hati orang-orang di sekeliling. Ibu bapa, ahli keluarga, sanak-saudara, teman-teman, majikan, rakan sekerja, termasuklah orang-orang yang tak dikenali.

Kita menjadi diri sendiri, orang mengeji. Kita berpura-pura, orang kata hipokrit. Jadi, bagaimana lagi menjadi seseorang yang disukai? Malahan, para ulama dan juga perdana menteri pun ada juga yang membenci.

Yang terasa dibenci selalu begini,

Mungkin biar sahaja apa orang nak kata. “Kalau tak suka pergi jauh-jauh dari aku!”
Mungkin berfikiran negatif terhadap mereka. “Bukannya dia baik sangat pun!”

Yang membenci sentiasa begini,
Mungkin biar sahaja dia itu sendirian. “Tak ingin aku berkawan dengan orang macam itu!”
Mungkin bersangka buruk terus-terusan. “Memang suka menyakitkan hati orang!”

Alangkah indahnya dunia jika kita saling menerima kelemahan dan keburukan diri sendiri dan orang lain dengan saling nasihat-menasihati dan mahu memperbaiki.

Kerna di dalam diri semua orang, sesiapa jua, pasti ada sesuatu yang dia tidak suka dan selesa dengan perbuatan dan percakapan orang lain. Oleh itu, jelaskan supaya dia mengerti.

Kerna di dalam diri setiap orang, sesiapa saja, pasti ada tindakan yang tidak disedari mampu mengguris dan melukakan perasaan orang lain. Oleh itu, terimalah kritikan supaya diri mampu diperbaiki.

Buang ego, buang tanggapan “aku lebih baik daripada dia”.

Cipta ikatan ukhwah yang dibajai dengan kejujuran dan kasih sayang. Jalin tali silaturrahim yang disimpulkan dengan niat yang tulus dan saling menghormati.

“Semua amal manusia akan diperlihatkan kepada Allah pada setiap hari jumaat sebanyak dua kali, hari isnin dan hari khamis. Oleh itu, setiap hamba yang beriman akan diampuni dosanya kecuali hamba yang ada permusuhan antara saudara segamanya. Difirmankan kepada para malaikat: Tinggalkanlah atau tangguhkanlah (pengampunan) mereka berdua sehingga mereka kembali berdamai.” (Riwayat Muslim)

Jom kita tinggalkan rasa sakit hati, sikap sering menyakiti. Jangan simpan penyakit hati.

Kepada kawan-kawan, sila maafkan jika saya ada menyakiti hati sesiapa sepanjang hidup di dunia.

Bak lirik lagu Too Phat-Alhamdulillah, “bukan berkhutbah, cuma betuli diri jua...".

No comments:

Post a Comment